"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Murtad berlaku kerana kelemahan agensi Islam, bukan dakwah Kristian - Ustaz Wan Ji

Wan Ji mengatakan pendidikannya di Mesir dan Pakistan mendedahkan beliau kepada ajaran sebenar agama, dan hairan dengan perbezaan Islam di Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 9 Februari, 2014.Seorang bekas ahli majlis syura PAS yang semakin terkenal di kalangan golongan Melayu sederhana, menyalahkan jabatan agama negeri bagi kes murtad orang Melayu, dan bukannnya kegiatan dakwah orang Kristian.
Wan Ji Wan Husin yang merupakan seorang ustaz, berkata, adalah salah bagi badan agama untuk menyalahkan murtad kerana penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian.

"Untuk berkata orang Kristian menggunakan perkataan itu untuk memurtadkan orang Muslim atau mengelirukan mereka adalah sangat salah dan tidak benar.
"Ini tidak pernah berlaku. Perkataan Allah sudahpun digunakan orang Kristian sebelum zaman Nabi Muhammad lagi, tetapi tidak pernah sekali pun Nabi Muhammad berkata ia digunakan untuk mengelirukan orang Islam," katanya kepada The Malaysian Insider.

Ahli PAS itu berkata, sebaliknya orang Islam sendiri yang membelakangkan agama kerana kelemahan jabatan atau agensi agama.

"Terdapat juga kelemahan zakat, yang sepatutnya menolong mereka yang memerlukan.

"Sudah banyak kes di mana orang Islam miskin tidak menerima bantuan yang mereka perlukan daripada masjid. Gerejalah yang membantu mereka dengan makanan dan tempat berlindung," katanya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini mengatakan perkataan Allah, jika digunakan orang Kristian di dalam Bible, akan mencetuskan kekeliruan di kalangan orang Islam yang mungkin salah faham tentang identiti "Allah", dan akan membawa mereka kepada murtad.

Ini menyebabkan pengharaman perkataan tersebut terhadap akhbar Katolik mingguan Herald yang dibantah orang Kristian, mendakwa sekatan tersebut melanggar hak beragama mereka.

Wan Ji mengecam sekatan tersebut dengan mengatakan tiada apa di dalam Al-Quran yang menunjukkan perkataan itu eksklusif untuk orang Islam.

"Malah, di dalam Al-Quran, Kristian diminta berjanji atas nama Allah apabila mereka perlu menafikan dakwaan terhadap diri mereka.

Beliau menegaskan mereka yang melarang orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan Allah sedang menggunakan 'sentimen Melayu', dan bukannya prinsip Islam.

"Tiada asas tentang ini dalam ajaran Al-Quran dan Hadis. Ini semua sentimen Melayu."

Pada 2 Januari, Jabatan Islam Selangor (Jais) menyerbu Persatuan Bible Malaysia di Damansara Kim dan merampas lebih 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban kerana mempunyai perkataan Allah di dalamnya.

Serbuan itu dilihat sebagai dicetuskan oleh kenyataan pengarang Herald, Paderi Lawrence Andrew, yang berkata gereja di Selangor akan terus menggunakan perkataan 'Allah' dalam sesi bahasa Melayu mereka, selepas amaran daripada Jais untuk menghentikannya.

Lawrence kini sedang disiasat polis dan mungkin didakwa kerana menghasut.
Wan Ji memberi amaran tentang kesan menyekat kebebasan beragama orang bukan Islam berkemungkinan menyebabkan hak orang Islam disekat di negara lain.

"Hari ini, Jais menyekat orang Kristian yang minoriti daripada mengamalkan agama mereka, dan esok, orang Islam akan melihat perkara yang sama berlaku kepada mereka di negara di mana mereka minoriti," katanya.

Wan Ji mengatakan pendidikannya di Mesir dan Pakistan mendedahkan beliau kepada ajaran sebenar agama, dan hairan dengan perbezaan Islam di Malaysia.

Graduan Universiti Al-Azhar, Mesir, itu juga mengecam Jakim yang baru-baru ini menyalahkan orang Kristian dan Yahudi atas perpecahan orang Islam dalam khutbah Jumaat.

"Itu satu dakwaan yang tidak berasas. Dalam sejarah Islam, orang Islam sudah berpecah sejak zaman Nabi Muhammad. Tidak ada kena-mengena dengan Kristian dan Yahudi.

"Janganlah pandai menuding jari kepada yang lain sahaja," katanya, merujuk kepada Jakim. "Semak kelemahan sendiri dahulu."

Alasan mengapa Jakim meletakkan kesalahan itu kepada Kristian dan Yahudi, kata Wan Ji, adalah untuk menutup kelemahan sendiri.

"Orang Islam di Malaysia berpecah kerana ada yang mengajar keadilan mengikut Islam sementara ada yang meletakkan 'kaum Melayu' sebelum apa-apa, termasuklah Islam sendiri." katanya.

Beliau mengatakan pendidikannya di Mesir dan Pakistan mendedahkan beliau kepada ajaran sebenar agama, dan hairan dengan perbezaan Islam di Malaysia.

"Ia diMelayukan, dan meletakkan kaum sebelum agama, ini sangat merbahaya.

Terdahulu, Wan Ji menarik perhatian kontroversi selepas membuat kenyataan menghasut tentang keluarga diraja.

Beliau mendedahkan beliau sudahpun disoal polis sebanyak enam kali kerana kenyataan tersebut.

Bagaimanapun beliau tetap dengan kritikan beliau terhadap monarki Malaysia, bahawa Sultan tidak boleh menjadi ketua agama.

"Apa yang salah tentang Malaysia ialah ketua monarki juga digelar ketua agama.

"Jika kita gunakan istilah itu, bermakna apa sahaja yang dilakukan oleh ketua agama menjadi agama itu sendiri.

"Tetapi, sesetengah tindakan Sultan bertentangan dengan agama Islam.

"Imej Islam semakin rapuh kerana perkara yang mereka lakukan, yang tidak betul di sisi Islam," tegasnya.

Beliau menamakan ahli PAS lain, Khalid Samad (ahli Parlimen Shah Alam) dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusof Rawa sebagai 'obor harapan' dalam hubungan Islam-Kristian.

Kedua-dua Khalid dan Mujahid penting dalam jalinan hubungan dengan penganut Kristian selepas isu kalimah Allah meletup pada 2009, dan sudahpun melawat 30 gereja di seluruh negara untuk mengadakan dialog.

"Saya amat berbangga dengan mereka. Merekalah lambang sebenar agama Islam - keamanan dan kasih sayang.

"Kelemahan orang Islam di Malaysia ialah menuntut orang bukan Islam untuk memahami mereka apabila mereka sendiri tidak berusaha memahami golongan yang berlainan agama.

"Di sini kita ada dua orang Muslim yang berbuat begitu, dan ia pasti akan memulihkan dan membaiki hubungan yang keruh antara agama," katanya.
-TMI-

1 ulasan:

Unknown berkata...

Tepat sekali. Motivasi bagi apa2 pun sekarang ini adalah duit. Lebih2 lagi diwaktu tekanan ekonomi semakin parah. Institusi Zakat dalam negara ini tidak lagi bekerja mengikut syariat Islam. Mereka lebih gemar melakukan perkara2 berikut:

1. Minat buat bangunan besar2 walau pun kesudahannya akan membazir saja. Contohnya Bangunan Zakat Negeri Kedah. Usang dan kosong

2. Letakan syarat yang ketat dengan berbagai dokumentasi kena penuhkan sebelum boleh dapat bantuan. Banyak songeh sangat.

3. Pegawai2 Zakat yang kurang komited. Tiada 'sense of urgency' apabila menguruskan bantuan.

4. Duit yang sepatutnya pergi kepada asnaf yang wajib tiba2 digunakan untuk pelaburan perniagaan. Macam yang pernah berlaku di zaman Yusof Nor dulu. Lepas itu rugi

Akhirnya bila sudah tidak tahan lgi, mereka pergilah kemana2 tempat pun termasuklah gereja. Apa nak buat terpaksa.

Dalam Jabatan Agama Islam dimana2 pun sekarang ini banyak yang dah jadi kucing bulu lebat. Makan mau sedap, tidur mau banyak.