"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hakim Mahkamah Rayuan tergopoh-gapah dalam membuat keputuan kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim - Datuk Mat Zain Ibrahim

Idrus HarunPETALING JAYA: Bekas Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim berpendapat bahawa Hakim Mahkamah Rayuan (MR) telah membuat keputusan mengenai kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim secara tergopoh-gapah, tanpa memberi pertimbangan yang mendalam dan menyeluruh, kepada keterangan-keterangan yang telah dibentangkan oleh kedua-dua pihak dari sejak mula prosiding tersebut diadakan.
Katanya, selain daripada MR sendiri ada membuat tafsiran silap menyentuh fakta mustahak, prosiding rayuan tersebut dicemari dengan tindakan pihak Kerajaan dan khasnya Peguam Negara, yang telah membuat kenyataan-kenyataan yang tidak benar dan atau membenamkan keterangan mustahak atau yang favorable kepada tertuduh daripada pengetahuan Mahkamah.

“Contohnya, dalam keputusan MR bertarikh 20 Disember 2013 yang ditandatangani oleh Datuk Aziah Ali, JCA, mahkamah tersebut telah menolak kebolehterimaan Akuan Bersumpah (SD) saya bertarikh 7.10.2013, yang ditandakan sebagai Ekshibit A-1 dalam affidavit Anwar,” katanya dalam surat yang diserahkan kepada Peguamcara Negara, Datuk Seri Idrus Harun (gambar) pagi ini yang di email kepada FMT.

Katanya, alasan MR ialah; nama dan alamat beliau di atas SD tersebut, telah digelapkan (blotted). Fakta sebenarnya ialah, nama beliau tidak digelapkan. Yang digelapkan ialah nombor kad pengenalan (NRIC) beliau. Nama dan NRIC adalah dua perkara yang berlainan dan mempunyai fungsi dan significance yang tersendiri.

“Isunya disini ialah,sekiranya MR boleh membuat kesilapan mentafsirkan atau membezakan antara dua fakta yang mudah dan straight forward seperti ini, maka MR juga boleh membuat kesilapan, mentafsirkan fakta lain yang lebih rumit dan complicated lagi akibat kegopohan,” tegasnya.

Katanya, ditambah pula dengan pihak Pendakwaan telah dengan sengaja menyembunyikan maklumat kepada MR bahawa NRIC beliau yang tersilap taip (typo error) itu, telah pun diperbetulkan dengan pihak SPRM lebih kurang dua minggu sebelum pihak pendakwaan memainkan isu ini, di hadapan MR pada 18 Disember 2013.

“Semasa membuat kenyataan dari kandang tertuduh, Anwar telah membangkitkan perkara perbuatan memalsukan dan membenamkan keterangan ketika insiden mata lebam 1998, membabitkan Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan,” dedah beliau.

Mat Zain berkata inilah kali pertama siasatan secara menyeluruh bersabit dakwaan memalsukan keterangan mengaitkan Peguam Negara dan mantan KPN itu, dijalankan oleh pihak BPR/SPRM terbit daripada laporan polis yang Anwar buat pada 1 Julai 2008.

Jelasnya, tiga orang mantan hakim-hakim kanan telah dilantik sebagai Panel Bebas dengan diberi kuasa Timbalan Pendakwa Raya (TPR), untuk mengkaji kertas siasatan pihak BPR/SPRM itu.

“Walaupun keputusan panel bebas tersebut telah disiapkan sebelum akhir bulan Ogos 2008, namun keputusan rasminya sengaja dipendamkan sehingga 11 Mac 2009, barulah diumumkan di-Parlimen, oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu,” dakwanya.

Beliau menambah dalam pengumuman tersebut, Nazri mengesahkan ahli-ahli panel bebas berkenaan, telah dilantik oleh Peguam Cara Negara (Solicitor General).

“Menteri itu juga mengumumkan bahawa ketiga-tiga ahli panel secara sebulat suara (3-0), mendapati Musa Hassan bersih daripada sebarang salah laku,” katanya.

Katanya, manakala bagi Gani Patail pula, keputusan panel bebas adalah secara majoriti (2-1) , maka Gani Patail dan Musa Hassan diistiharkan bersih daripada sebarang salahlaku.

Mat Zain mendakwa walaupun dua orang wakil rakyat dari pembangkang, Lim Kit Siang dan Gobind Singh Deo, mendesak supaya menteri mengumumkan nama ahli panel yang mendapati terdapat keterangan terhadap Peguam Negara, namun Nazri enggan menjawabnya.

Katanya, dalam bulan Disember 2010,sebagai menjawab soalan daripada Lim Kit Siang juga, Nazri telah mengeluarkan kenyataan menteri (ministerial statement), mengesahkan perkara sama yang diumumkan pada 11 Mac 2009 itu.

Pun begitu nama ahli panel yang membuat keputusan terhadap Peguam Negara, masih dirahsiakan sehingga masa itu, dakwa beliau.

“Bagaimana pun pada 18 Mei 2013, Ketua Pesuruhjaya SPRM,Tan Sri Abu Kassim Mohamad, sebagai menjawab suatu komen dari saya, telah mengumumkan bahawa ahli panel yang berkenaan itu ialah Datuk Mohd.Noor Abdullah, mantan Hakim Mahkamah Rayuan.” katanya.

Katanya, perkara yang mengejutkan ialah Mohd.Noor Abdullah, bukan sahaja mendapati terdapat bukti salahlaku terhadap Gani Patail seorang, bahkan termasuk Musa Hassan juga.

“KP SPRM telah menekankan bahawa Mohd.Noor telah berkeras untuk mengenakan pertuduhan ke atas kedua-dua Gani Patail dan Musa Hassan,” dakwanya lagi.

Mat Zain berkata dengan pengesahan SPRM ini, maka jelas pengumuman Nazri di Parlimen pada 11 Mac 2009 dan juga ministerial statement yang beliau keluarkan pada Disember 2010, adalah tidak benar dan mengelirukan, khususnya berkaitan keterangan salahlaku oleh Musa Hassan.

Dalam perkembangan yang berkaitan, pada 10 Disember 2013, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengikrarkan affidavit, menyatakan bahawa bekas hakim-hakim kanan tersebut dilantik sebagai panel bebas oleh Peguam Negara dan bukan oleh Peguamcara Negara.

“Dengan pernyataan Shafee seperti di atas, menunjukkan kenyataan Nazri di Parlimen dan ministerial statement yang beliau keluarkan bagi pihak Kerajaan, adalah tidak benar dan mengelirukan,” dakwa beliau lagi.

Katanya, jelas Kerajaan sendiri yang sengaja sembunyikan maklumat yang telus, berkaitan keputusan siasatan SPRM terhadap Gani Patail dan Musa Hassan daripada pengetahuan umum dan Mahkamah.

“Kesimpulan yang boleh dibuat bersandarkan fakta di atas ialah bahawa Kerajaan telah membersihkan kedua-dua Gani Patail dan Musa Hassan daripada salah laku jenayah, dengan cara yang menyalahi undang-undang dan representasi salah,” rumus beliau.

Katanya, sekiranya Mahkamah Rayuan tidak tergopoh gapah membuat keputusan, sebaliknya meneliti mendalam keterangan yang telah dibentangkan oleh kedua-dua pihak, semenjak prosiding bermula pada tahun 2008, nescaya mereka sendiri akan menemui fakta-fakta yang diringkaskan diatas dan banyak lagi keterangan yang menunjukkan salahlaku terancang pihak pendakwaan dan penyiasatan dalam prosiding kes Liwat II ini.

“Pada pendapat saya, perkara yang terpenting dalam hal ini ialah bahawa Gani Patail telah hilang kelayakan dari sudut moral dan undang-undang, untuk terlibat dalam apa kapasiti pun, bersangkutan dengan pertuduhan yang dikenakan terhadap Anwar dalam kes ini,” katanya.

Katanya lagi, apa-apa keputusan yang beliau telah ambil atas sifat Peguam Negara berkaitan perkara ini dan termasuk melantik Shafee untuk mengepalai pasukan pendakwaan di peringkat rayuan ini, boleh dipertikaikan dan wajar disemak semula.

Pada pendapat Mat Zain, Hakim MR bergantung bulat-bulat kepada hujah yang dibentangkan oleh Shafee sahaja, tanpa menghiraukan bantahan-bantahan dan laporan polis yang dibuat berkaitan pemalsuan yang diikrarkan oleh Shafee, dalam affidavit-affidavit beliau itu.

“Hakim MR sendiri yang mendedahkan tingkahlaku dan tindakan mereka untuk orang ramai menyimpulkan bahawa mereka memang berada di bawah tekanan dan pengaruh yang kuat daripada tangan-tangan tersembunyi, untuk mensabitkan kesalahan ke atas Anwar dengan apa cara sekalipun,” katanya lagi.

Turut baca

Tiada ulasan: