"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa Najib semakin berani dan ‘kuat’?

Wong Chin Huat
Pengukuhan kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan berhenti dengan penubuhan Majlis Keselamatan Negara (MKN).Penganiayaan pengkritik tidak akan berhenti sehingga muafakat tentang Malaysia pasca-Najib dan pasca-Umno muncul untuk membentuk satu gabungan majoriti.

Perbandingan MKN dan Mageran

MKN sebenarnya boleh dibandingkan dengan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuhkan oleh ayahanda Najib, Tun Abdul Razak, selepas rusuhan 13 Mei, 1969.

Mageran Tun Razak dipengerusikan dirinya sebagai timbalan perdana menteri dan dianggotai menteri hal ehwal dalam negeri, presiden MCA, menteri kerja raya, pos dan telekom (MIC), menteri penerangan dan penyiaran, ketua turus angkatan tentera, ketua polis negara dan setiausaha kekal Kementerian Luar Negeri, dan operasinya dijalani oleh pemimpin tentera, polis dan birokrat.

MKN Najib mempunyai 7 ahli, selain perdana menteri sebagai pengerusi dan dianggotai menteri pertahanan, menteri hal ehwal dalam negeri, menteri komunikasi dan multimedia, ketua turus angkatan tentera, ketua polis negara, dan ketua setiausaha negara.

Sebuah institusi yang sementara, Mageran ditubuhkan dengan pengumuman darurat 3 hari selepas rusuhan 13 Mei yang menggantung pemerintah berparlimen.

Ia dibubarkan dengan tamatnya darurat 2 tahun kemudian. Mengikut perlemabgaan, kuasa darurat terletak pada Yang diPertuan Agong sungguhpun baginda mesti bertindak mengikut nasihat eksekutif.

Sebaliknya, MKN adalah sebuah badan kekal yang boleh mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai “kawasan keselamatan” selama 6 bulan. Kuasa darurat Agong dialihkan secara senyap kepada eksekutif dan, pada teorinya, Parlimen.

Sungguhpun mengikut undang-undang, pembaharuan perintah “kawasan keselamatan” setiap 6 bulan perlukan kebenaran Parlimen, dengan Parlimen yang sentiasa tunduk kepada eksekutif, ini sebenarnya bermaksud pembaharuan itu boleh dilakukan tanpa sekatan.

Pengarah operasi MKN dan pasukan keselamatan diberikan 15 kuasa khas termasuk kuasa mengenakan perintah berkurung; menangkap orang tanpa waran; mengawal pergerakan jalan; menggeledah premis bagi benda berbahaya; menyita kenderaan, vesel, pesawat udara atau pengangkut; dan mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih.

Mereka juga dikecualikan tanggungjawab undang-undang untuk kesalahan yang dilakukan semasa bertugas.

Nyata sekali, kuasa MKN direka bukan untuk melawan serangan pengganas tetapi untuk pemerintahan tentera.

Persoalannya, kalau Mageran ditubuhkan kerana rusuhan 13 Mei, apakah alasan untuk MKN, macam sebuah Mageran mini yang sentiasa “bersedia” (on stand-by) untuk membolehkan pemerintahan tentera?

Andaikan pembangkang memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), apakah peluangnya berlaku peralihan secara aman? Apakah akan berlaku kekacauan yang membolehkan pengistyharan “kawasan keselamatan” yang mengekalkan kuasa Najib dan Umno/BN?

Perbandingan Najib dengan Mahathir

Apakah Malaysia sedang menggelongsor secara perlahan-lahan ke bawah cerun daripada negara ekaparti berpilihanraya (electoral one-party state) kepada kediktatoran perseorangan (personal dictatorship)?

Jika dibandingkan dengan Tun Dr Mahathir pasca-reformasi, Najib pasca-1MDB jauh nampak lebih terdesak (desperate) dalam memanjangkan riwayat politiknya.

Dr Mahathir menggunakan polis dan mahkamah mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menahan menahan aktivis politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk melemahkan pembangkang.

Dr Mahathir berjaya kekalkan kuasanya dalam PRU10 (1999). Maka, kita tidak boleh ketahui sama ada beliau akan membenarkan peralihan kuasa secara aman jika BN tewas dalam PRU10.

Apa yang nyata, Dr Mahathir tidak menaruh nasibnya dalam PRU11 (2004) sungguhpun beliau tidak senang kalau hidup tidak berkuasa.

Beliau mengumumkan pengundurannya seawal Jun 2002, dalam masa kurang daripada 3 tahun selepas kemenangan PRU10.

Dengan mengelakkan ketewasan Umno/BN, beliau memilih pengunduran dirinya sebagai konsesi untuk meredahi kemarahan pengundi.

Rakyat kehilangan 'kuasa ugutan'?

Mengapa Najib menjadi lebih ketagih kepada kuasa daripada Dr Mahathir sehingga sanggup mencipta MKN untuk melanjutkan kuasanya?

Ini bukan sahaja kerana Najib takut dirinya akan dihadapkan ke mahkamah selepas hilang kuasa, ia juga berlaku kerana rakyat sudah kehilangan “kuasa ugutan” terhadap Najib dan partinya.

Pada asasnya, kuasa ugutan rakyat ialah kuasa rakyat memecat pemerintah pada pilihanraya yang akan datang.

Apabila pilihanraya masih lagi jauh, maka “kuasa ugutan” biasanya mengambil 2 bentuk: kekalahan dalam “pilihanraya pertengahan penggal” (midterm election) dan protes.

Di Amerika Syarikat, seluruh dewan perwakilan (House of Representatives) dan sepertiga daripada kerusi senat menghadapi pilihanraya semula pada pertengahan penggal (tahun ke-3).

Akibatnya, presiden sering hilang kuasa kawalan kepada Kongres dan terpaksa mengubah dasarnya yang tidak popular. Presiden menghadapi tekanan bukan sahaja daripada parti pembangkang yang kawal Kongres tetapi juga ahli Kongres parti sendiri yang lebih takutkan kekalahan pada pilihanraya penggal baharu.

Dalam sistem demokrasi berparlimen seperti UK dan Australia, “pilihanraya pertengahan penggal” mengambil bentuk pilihanraya umum negeri, pilihanraya umum tempatan dan pilihanraya kecil.

Kekalahan parti pemerintah dalam pilihanraya ini, sungguhpun tidak mengubah imbangan kuasa dalam parlimen, boleh menyampaikan tekanan kepada parti pemerintah untuk mengubah dasar malah pemimpinnya.

Di Australia, 3 perdana menteri berturut-turut – Kevin Rudd, Julia Gillard dan Tony Abbott – dipecat ahli parlimen seperti mereka kerana takutkan kekalahan.

Di Malaysia, 16 buah pilihanraya kecil yang berlaku dalam masa 3 tahun selepas 2008, sama ada disebabkan kematian atau perletakan jawatan si wakil rakyat, menarik perhatian seluruh negara dan dilihat sebagai termometer suara rakyat. BN begitu tertekan sampai tidak bertanding di pilihanraya kecil di Penanti, kubu kuat PKR.

Protes yang berjaya juga boleh menarik perhatian orang ramai dan memberangsangkan pengundi atas pagar untuk turut menolak parti pemerintah. Ini seterusnya memaksa parti pemerintah mengubah polisi mereka sungguhpun perubahan ini mungkin juga terlalu lewat.

Contoh paling dikenali kita bagi protes yang berjaya mengubah landskap politik ialah 3 perhimpunan pada 2007, iaitu “Walk for Justice” yang membantah korupsi kehakiman (kes “Correct! Correct! Correct!”) pada 26 September, Bersih (1.0) yang membantah korupsi pilihanraya pada 10 November, dan Hindraf yang membantah diskriminasi kaum pada 25 November.

Kerana dekatnya 3 perhimpunan ini dengan PRU12 (2008), ketidakpuasan penggundi mencapai 49% dalam peti undi dan menafikan majoriti dua-pertiga di Parlimen untuk kali pertama selepas 1969.

Kerana takut kepada kuasa protes, Najib sendiri melancarkan Program Transformasi Politik (PTP) selepas perhimpunan raksasa Bersih 2.0 pada 2012.

Muafakat Malaysia pasca Najib/Umno

Mengapa Najib tidak takut lagi kepada Bersih 4 yang jumlah bilangan pesertanya mungkin sepuluh kali gandanya daripada Bersih 2?

Apabila Pakatan Rakyat cuba mendapat 40% daripada kerusi Parlimen sekalipun memenangi 51% undi, Najib dan Umno “diberanikan” – ketidakpopularan tidak menjamin kekalahan.

Sebagai contoh, BN mungkin masih dapat memerintah dengan 55% kerusi di Parlimen sekalipun peratusan undinya jatuh ke 43%.

Selagi ketidakpopularan Najib tidak menjamin kejatuhan Umno, tidak perlulah panglima perang Umno menjatuhkan Najib.

Malah, mereka tidak perlu takut kemarahan rakyat kerana GST, kenaikan tol, kenaikan kos pengangkutan awam dan penurunan subsidi.

Untuk pemerintah minoriti yang asas kuasanya semakin sempit, apa yang paling perlu bukanlah memenangi hati rakyat, sebaliknya kuasa paksaan untuk menekan hak rakyat membantah.

Daripada segi itu, MKN adalah langkah paling rasional sekali untuk Najib dan Umno. Kerana tidak takut lagi kehilangan majoriti mudah, Najib dan Umno akan lebih berani dalam memperkasakan kukubesinya dan oleh itu lebih “kuat”.

Apakah jalan keluar untuk rakyat Malaysia? Kita perlukan sebuah gabungan sosial anti-Najib yang menjamin kekalahan BN yang cukup besar dalam undi, misalnya ke bawah 40%.

Dan jika pilihanraya Sarawak yang akan datang menampakkan bilangan kerusi BN jatuh lagi meskipun Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem begitu popular dengan dasar baharunya, maka barulah Umno akan percaya gabungan anti-Najib sudah pun terbentuk.

Tetapi bagaimana pula gabungan sosial anti-Najib itu boleh dibentuk? Perjanjian satu-lawan-satu di kalangan parti pembangkang tidak mencukupi.

Kita mesti berani membincangkan dan mencapai muafakat tentang masa depan Malaysia bukan saja pasca-Najib, tetapi pasca-Umno.

Kita mesti sedia mendengar aspirasi dan ketakutan semua komuniti dan sektor, dan mencari kompromi yang merangkumi (inclusive) dan mampan (sustainable).

Itu satu-satunya cara gabungan pelangi (rainbow coalition) di peringkat masyarakat boleh dibina. Ia mesti berlaku kerana gabungan parti politik yang bersifat jangka pendek tidak cukup untuk menjatuhkan Najib yang makin berani dan “kuat”

Tiada ulasan: