"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 skandal besar di Malaysia yang didedahkan oleh pemberi maklumat

Lima skandal kewangan yang tercetus daripada pemberi maklumat yang diberikan kepada pemimpin politik pembangkang, badan bukan kerajaan dan media. – Gambar The Malaysian Insider, 10 Februari, 2016.
Lima skandal kewangan yang tercetus daripada pemberi maklumat yang diberikan kepada pemimpin politik pembangkang, badan bukan kerajaan dan media.

Ketika Putrajaya mempertimbangkan undang-undang diperketat bagi mengekang kebocoran maklumat, The Malaysian Insider mengungkap kembali 5 skandal kewangan yang tercetus disebabkan pemberi maklumat.

Kes ini hanya diketahui umum selepas maklumat berkaitan disembunyikan Putrajaya dan syarikat berkaitan kerajaan dan diberikan kepada pemimpin politik pembangkang, badan bukan kerajaan dan media.

Susulan publisiti diterima kes ini mengakibatkan siasatan dijalankan bagi melihat sama ada berlakunya salah tadbir urus, rasuah atau penyalahgunaan dana awam.

Kumpulan pemantau anti rasuah antarabangsa Transparency International berkata, pendedahan ini membuktikan perlindungan perlu diberikan kepada pemberi maklumat dan Putrajaya seharusnya melihat mereka sebagai "mata dan telinga" dalam memerangi rasuah.

"Kerajaan lebih cenderung bergerak ke belakang daripada bekerja untuk memastikan ketelusan dan usaha yang lebih gigih dalam membasmi rasuah," kata Presiden TI Malaysia Datuk Akhbar Satar.

Katanya, Malaysia berisiko jatuh ke tangga lebih bawah dalam Indeks Persepsi Rasuah sekiranya Putrajaya terus menerus mengetatkan undang-undang terhadap pendedah maklumat kerajaan.

Pindaan terhadap Akta Rahsia Rasmi (OSA) akan mengakibatkan pengurangan jumlah pemberi maklumat dan melumpuhkan usaha membanteras kes rasuah mega, kata Akhbar.

Pada 2015, Malaysia jatuh 2 anak tangga kepada 54, susulan dianggap campur tangan dalam penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Akhbar berkata, jika Putrajaya meningkatkan penalti kerana mendedahkan maklumat, ia akan mengakibatkan lebih banyak penurunan indeks kerana CPI diukur melalui layanan kerajaan terhadap akses kepada maklumat dan pemberi maklumat.

"Jika anda melakukan sesuatu dengan cara betul, tiada perkara perlu disembunyikan. Maklumat hanya disembunyikan jika kesilapan dilakukan dan apa yang dilakukan itu salah," kata Akhbar.

Berikut ialah 5 skandal utama yang diketahui umum kerana pemberi maklumat;

1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Salah satu skandal kewangan terbesar Malaysia didedahkan The Edge Media Group dan pemimpin Pakatan Harapan, Tony Pua dan Rafizi Ramli.

1MDB menjadi lebih hangat selepas pendedahan bagaimana AS$681 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri.

Skandal itu turut melibatkan agensi kerajaan seperti Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).

Menggunakan emel dalaman antara pegawai syarikat dan perunding, pendedahan itu menunjukkan rangkaian persoalan dan perjanjian meragukan dengan syarikat asing melibatkan berbilion ringgit sejak 2012.

Amaran mula berbunyi berkenaan hutang RM42 bilion yang dikumpul syarikat itu sejak 6 tahun. Dianggarkan sekitar RM20 bilion hutang dijamin kerajaan, menimbulkan ketakutan sekiranya syarikat itu gagal, pembayar cukai akan menanggung jumlah itu.

Siasatan terhadap 1MDB dimulakan hampir kebanyakan agensi penguatkuasaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hinggalah ketua audit negara.

Namun, pada Julai siasatan berada di kemuncak selepas The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report menulis tentang bagaimana AS$681 juta, yang disyaki berkaitan 1MDB dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Maklumat ini juga berdasarkan dokumen dalaman kerajaan berhubung siasatan itu sendiri.

Siasatan Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap 1MDB bagaimanapun masih belum selesai.

Sementara itu, pihak berkuasa Switzerland dan Singapura dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan siasatan masing-masing terhadap pemindahan dana melibatkan 1MDB.

Penyokong Najib mendakwa The Edge dan pemimpin Pakatan menggunakan penipuan emel seolah-olah menunjukkan berlakunya kesalahan. Bagaimanapun ia masih belum dibuktikan, tetapi The Edge digantung selama 3 bulan atas dakwaan menyiarkan "laporan palsu".

Polis cuba menyiasat anggota SPRM, Bank Negara, dan Pejabat Peguam Negara berkaitan kebocoran maklumat kepada WSJ bagaimanapun dihentikan selepas tekanan awam.

RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib

Isu ini turut didedahkan WSJ menggunakan dokumen berkaitan siasatan 1MDB. Sebulan selepas pendedahan 1MDB dilakukan WSJ, SPRM mengisytiharkan dana dalam akaun Najib bukan diperoleh daripada 1MDB atau syarikat berkaitan, sebaliknya ahli keluarga Diraja Arab Saudi.

Pegawai dalam pentadbiran Najib mendakwa dana itu bagi membantu Malaysia memerangi Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

SPRM dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menemui penderma itu bagi mengesahkan dana itu disumbangkan beliau.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, tiada bukti kukuh untuk mendakwa Najib atas mana-mana kesalahan kerana menerima derma. Pada 6 Februari, Apandi berkata, dana itu daripada anak bekas Raja Arab Saudi.

Pembelian hartanah Mara di Australia

Media Australia mendedahkan pada Jun Majlis Amanah Rakyat Malaysia (Mara), sebuah agensi kerajaan bagi membantu Bumiputera membeli 4 bangunan di Australia dengan harga yang begitu tinggi.

Mara, melalui anak syarikatnya, Mara Inc, terlebih bayar sebanyak RM66 juta untuk semua hartanah itu di Melbourne.

Siasatan lanjut Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) menunjukkan pegawai Mara Inc, didakwa menerima RM15 juta melalui urus niaga tersebut.

Urus niaga itu dijalankan melalui lapisan syarikat yang begitu kompleks bermula dari Labuan ke Singapura, dan Australia.

Dua kontrak pegawai Mara ditamatkan pada Julai, namun Pengarah NOW Rafizi Ramli mempersoalkan mengapa pegawai atasan agensi itu, seperti Datuk Seri Idris Jusoh tidak dikenakan tindakan. Idris merupakan pengerusi Mara ketika urus niaga itu dijalankan.

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim)

Di atas kertas, Yapeim merupakan yayasan kebajikan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Yapeim menyasarkan membantu pelajar, anak yatim dan golongan fakir miskin beragama Islam.

NOW bagaimanapun mendedahkan yayasan itu membelanjakan dana mereka untuk kursus kahwin di Paris, Perancis, perjalanan antarabangsa yang mahal untuk pegawai kanan dan menteri serta pembelian simulator golf.

Pendedahan itu berdasarkan dokumen dalaman Yapeim.

Sebagai contoh, RM290,000 untuk kursus kahwin 14 hari di Paris datang daripada jabatan di bawah yayasan itu seharusnya digunakan bagi membantu orang miskin, kata Pengarah NOW Akmal Nasir.

Sebelum itu, Akmal mendedahkan yayasan itu membayar lawatan ke AS Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom termasuk bermain golf dan perjalanan ke pusat membeli belah yang menelan kos RM410,000.

NOW juga mempersoalkan sekiranya dana yayasan itu digunakan bagi membiayai pilihan raya kecil Rompin.

Yapeim mengakui semua program dan pembelian namun menegaskan tiada sebarang kesalahan dilakukan. Mereka menafikan dana itu digunakan bagi pilihan raya kecil.

Jamil turut menyaman Akmal berhubung tuduhan tersebut.

Tiga pegawai kanan Yapeim juga diberhentikan susulan siasatan yang dilakukan jawatankuasa khas untuk menambah baik urus tadbir yayasan itu.

Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji menguruskan berjuta ringgit dana daripada 9 juta umat Islam untuk menunaikan Haji di Mekah. Namun, bermula Mei, pemimpin pembangkang mendedahkan terdapat urus niaga mereka yang berkemungkinan memberi kesan kepada dana pendeposit.

Pada April, sebuah blog, The Benchmark mendedahkan Tabung Haji membeli 0.63 hektar tanah daripada 1MDB di Tun Razak Exchange pada harga RM188.5 juta. Laporan itu berdasarkan dokumen dalaman penjualan tanah, yang pengkritik lihat sebagai cubaan menyelamatkan 1MDB.

Kontroversi terbaharu, surat daripada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz terhadap lembaga berkenaan mendedahkan paras rizab mereka negatif dan mungkin memberi kesan untuk mereka membayar dividen pada 2015.

Surat itu turut dilihat The Malaysian Insider dan beberapa blog.

Ia bagaimanapun dinafikan Tabung Haji dan menegaskan dana pendeposit selamat. Dividen sebanyak 5% juga turut diumumkan bagi 2015, baru-baru ini.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: