FMT Reporters
PETALING JAYA: Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata, beliau berhak ada perancangan sendiri selepas Parlimen dibubarkan, menjawab surat tunjuk sebab dikeluarkan kepadanya berhubung hasratnya bertanding pada PRU akan datang bukan sebagai calon PKR.
Dalam suratnya kepada Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh bertarikh hari ini, Rafizi berkata, kenyataan yang dibuat ketika temu ramah bersama Sin Chew Daily, seperti yang dirujuk di dalam surat tunjuk sebab itu, ‘mempunyai maksud seperti yang boleh difahami oleh sesiapa yang mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang baik’.
Ahli Parlimen Pandan itu sebelum ini diberikan masa hingga tengah malam ini untuk menjawab surat tersebut, yang mendakwa beliau menyatakan hasrat keluar parti.
Dalam temu ramah tersebut, beliau dipetik berkata, “Saya tak rasa saya akan bertanding sebagai calon PKR. Saya akan tetap bertanding di Pandan … (tetapi) bagaimana itu, biarlah rahsia.”
Dalam suratnya yang dimuat naik di Facebook, Rafizi berkata: “Kenyataan-kenyataan saya itu mempunyai maksud berikut … saya akan kekal sebagai anggota PKR dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan sehinggalah Parlimen dibubarkan bagi tujuan PRU.
“(Selain itu), saya berhak mempunyai perancangan sendiri selepas Parlimen dibubarkan dan tidak lagi terikat dengan peruntukan bersabit pertukaran parti oleh Ahli Parlimen di tengah-tengah penggal.”
Rafizi menambah, kenyataannya tidak memerlukan ‘tafsiran-tafsiran yang merumitkan’ seperti yang cuba diajukan di dalam surat tunjuk sebab tersebut.
Semalam, Fuziah berkata, PKR enggan mengambil tindakan terburu-buru terhadap Rafizi tanpa mendengar penjelasannya terlebih dahulu.
Katanya, parti itu akan mengadakan mesyuarat majlis pimpinan pusat esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan