"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Veteran PAS pertahan Mahfuz atas semangat ‘PAS untuk semua’

FMT Reporters 
PETALING JAYA: Seorang veteran PAS mempertahankan Datuk Mahfuz Omar walaupun bekas naib presiden parti itu sering tidak sehaluan dengan pimpinan dalam isu semasa.

Subky Latif, bekas pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan yang merupakan antara pengasas akhbar parti Harakah, berkata Mahfuz tidak boleh disisihkan oleh parti itu sejajar dengan slogannya “PAS untuk semua”.

Subky berkata PAS tidak rugi jika semua orang sama ada “yang sayangkan PAS”, “yang menjauhkan diri dan keluar PAS” atau “yang belum masuk PAS” bersama parti itu menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Subky berkata Mahfuz dihormati oleh bekas presiden Datuk Fadzil Noor disebabkan kelincahan politiknya walaupun bukan dalam kategori mereka yang berpendidikan tinggi.

“Dia belum jadi seperti pemimpin PAS lain yang meninggalkan PAS. Dia sedang melalui tempoh berkabung. Dalam tempoh ini, dia jadi seperti seorang ibu yang kasihkan anak tetapi lebih suka menyusukan kera daripada anaknya sendiri.

“Jika Allah mencatit pahalanya cuma sebesar zarah, maka saya kira bakti Mahfuz itu tidaklah sekadar sebesar zarah saja,” tulis Subky dalam laman berita rasmi PAS, Harakahdaily.

Pada 2015, beberapa pemimpin tinggi PAS bertindak keluar parti itu untuk menubuhkan Amanah, selepas kecewa dengan haluan parti di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Walaupun Mahfuz yang juga wakil rakyat Pokok Sena tidak keluar parti, beliau sering menyokong pendirian Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, PPBM dan Amanah. Pada pembentangan Bajet 2017 Oktober lalu, beliau satu-satunya ahli Parlimen PAS yang turut sama dengan pemimpin PH melakukan protes keluar Dewan Rakyat sambil mengangkat sepanduk menyelar perdana menteri.

April lalu, PAS Kedah melaporkan Mahfuz kepada pimpinan pusat untuk diambil tindakan disiplin.
PAS Pokok Sena sebelum ini menganggap Mahfuz “duri dalam daging”, dan mendesaknya meletak jawatan dan menyertai parti lain.

“Mana-mana ahli yang tidak patuh dengan keputusan parti, dia bukanlah ahli PAS walaupun dia mendakwa dirinya sebagai ahli,” kata Yang Dipertua (YDP) PAS Pokok Sena, Wan Romani Wan Salim.

Bagaimanapun, Subky melahirkan harapan bekas pemimpin PAS lain yang kini bersama Amanah akan kembali ke pangkuan parti Islam itu.

“Jika boleh saya mahu mereka kembali kepada PAS sebelum PRU14 atau sebelum mati. Biarlah semuanya mati dalam PAS,” katanya.

Tiada ulasan: