"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas maut dilibas senjata tajam ketika disamun

Bernama
Seorang lelaki warga emas maut akibat dilibas dengan senjata tajam dalam kejadian samun oleh sekumpulan lelaki di sebuah kediaman di Pekan Baru dekat Teluk Intan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata mangsa berusia 69 tahun itu, mengalami kecederaan parah akibat dilibas dengan senjata tajam dipercayai parang di tangan kanan dan tapak tangan kiri, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira 6.02 pagi semasa isteri mangsa berada di halaman rumah untuk persiapan sembahyang.

“Tiga suspek lelaki yang memakai topeng dipercayai telah memasuki kawasan rumah dengan memanjat tembok hadapan, sebelum menyerbu masuk ke dalam kediaman mangsa.

“Suspek kemudiannya bertindak mengugut mangsa dan menuntut barang kemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chua berkata kesemua suspek dipercayai telah melarikan diri sejurus selepas kejadian bersama barang kemas dan wang tunai milik mangsa, namun pihaknya masih menyiasat jumlah kerugian yang dialami mangsa.

“Polis kini giat mengesan tiga suspek lelaki berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun,” katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Chua berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan, dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Teluk Intan menerusi talian 05-6222222.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa meningkatkan tahap keselamatan kediaman masing-masing, termasuk memasang sistem keselamatan tambahan serta memastikan persekitaran rumah sentiasa dalam keadaan selamat.

- Bernama

Tiada ulasan: