"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Banyak hujah Najib jadi bahan senda netizen

SHAHBUDIN HUSIN

Walaupun debat perdana antara Anwar Ibrahim dengan Najib Razak telah berakhir sebelum jam 11 malam tadi, tetapi perdebatan di media sosial mengenainya masih lagi berlarutan sehingga ke awal pagi.

Paling teruk diperdebatkan ialah hujah yang dilontarkan Najib untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi Sapura Energy.

Sementara beliau menyatakan penyelesaian yang dicadangkannya tidak melibatkan duit rakyat, tetapi beliau mencadangkan agar Petronas mengambil alih Sapura Energy.

Selain Anwar sendiri mempersoalkan bahawa Petronas itu milik siapa jika bukan milik kerajaan yang bermakna ia milik rakyat, rata-rata netizen turut menempelak Najib dengan hujahnya itu.

Jika Petronas bukan milik rakyat, apakah ia kepunyaan Jin atau Ahmad Albab? Demikian banyak persendaan yang banyak ditanyakan oleh netizen kepada Najib.

Penyelesaian kedua yang dicadangkan Najib untuk menyelamatkan Sapura Energy ialah dengan bank-bank harus memberi pinjaman yang dijamin oleh kerajaan.

Sekali lagi Najib dipersoalkan melalui cadangannya itu kerana jika kerajaan yang dijadikan penjamin dan apabila Sapura Energy gagal membayar pinjaman itu akhirnya, maka sudah tentu kerajaan yang akan menanggungnya.

Kalau kerajaan yang akhirnya kena menanggung beban pinjaman itu, tidakkah ia bermakna duit rakyat juga yang menjadi pertaruhannya?

Ternampak kerana terlalu ghairah ingin menyelamatkan syarikat itu, Najib seolah-olah terlupa kepada hakikat bahawa duit rakyat itu ada pelbagai bentuk serta cabangnya.

Sama ada duit Petronas yang sahih-sahih merupakan duit rakyat, mempertaruhkan kerajaan sebagai penjamin juga bererti merisikokan duit rakyat untuk terbang melayang begitu saja.

Dalam hal ini, Anwar lebih jujur dan praktikal di mana selain tidak menolak keperluan membantu syarikat yang bermasalah yang memerlukan bantuan, tetapi mahukan forensik audit dilakukan terlebih dahulu untuk mengenal pasti punca masalah dan kepincangan serta mungkin ada jenayah yang berlaku, tambahan lagi kerugian Sapura Energy telah dibangkitkan sejak 2016 lagi.

Bantuan, bagi Anwar bukan tidak boleh diberikan, tetapi ia mestilah dengan cara yang betul dan tidak mengulangi banyak siri “bail out” yang gagal sebelum ini.

Turut menjadi persendaan netizen ialah hujah Najib berkaitan “cash is king” di mana kali ini beliau mentafsirkan “king” itu adalah rakyat.

Ternampak jika dulu Najib menganggap wang tunai adalah raja, kini setelah ditolak rakyat dan hilang kuasa, baginya raja atau king yang sebenar ialah rakyat.

Dipersendakan lagi tanggapan itu oleh netizen bahawa patutlah berbilion-bilion direlakan masuk ke dalam akaun peribadinya.

Tidak terkecuali dipertikaikan apabila Najib bercakap tentang membesarkan kek ekonomi untuk diagih-agihkan kepada rakyat.

Anwar dalam hujah balasnya menyindir – kalau ada kek, jangan kita makan seorang.

Lepas itu, tambah beliau, siapa yang akan menentukan pembahagian kek tersebut dilakukan dengan benar-benar adil.

Jika kilasan yang dibalas Anwar berkaitan Petronas kepunyaan siapa dan kalau ada kek, jangan kita makan seorang telah berjaya memerahkan muka Najib, cubaan beliau mengasak Ketua Pembangkang tentang skandal forex sekali lagi membuatkan wajah bekas Perdana Menteri itu berbelang-belang kemerahan..

Menurut Anwar, beliau tiada masalah jika kes forex mahu dibuka semula, malah kalau esok Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob boleh bercakap dengan Peguam Negara agar membuka semula siasatannya, beliau juga amat mengalu-alukannya.

“Ini beza saya dengan Najib, saya tidak mahu mana-mana kes yang melibatkan ahli politik menggunakan jentera politik untuk menutup kes mereka atau menggunakan jentera kerajaan untuk menekan orang lain.

“Jangan guna alasan kes tutup atau pendakwaan terpilih, apa yang menghalang Peguam Negara sekarang daripada membuka semula kes itu?

“Tiada masalah sama sekali kerana Perdana Menteri sekarang daripada Umno, buat mesyuarat MT dan arahkanlah,” tambah Anwar yang paparan kamera kemudian memperlihatkan Najib termenung dengan jawapan tersebut.

Oleh sebab barangkali ini merupakan pengalaman pertama Najib berdebat, tambahan lagi lawannya ialah Anwar yang memang diketahui berdebat atau berpidato adalah “makanannya”, banyak lagi beliau dilihat agak ketinggalan dan berjaya dimatikan hujahnya.

Jika diulang tonton sekali lagi, semua itu boleh dilihat dengan ketara sekali.

Apa pun, debat malam tadi telah berjaya memeriahkan dunia politik negara dengan lebih banyak lagi siri perdebatan lain melibatkan tokoh-tokoh lain harus terus diadakan daripada semasa ke semasa.

Tiada ulasan: