"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Buruh asing terpedaya kerana kerajaan gagal bendung sindiket

Dineskumar Ragu

PETALING JAYA: Seorang aktivis mengaitkan peningkatan kes buruh asing terpedaya dan terkandas di Malaysia tanpa pekerjaan dengan kegagalan kerajaan membendung kegiatan sindiket pemerdagangan orang.

Aktivis hak buruh asing Andy Hall berkata, kegagalan kerajaan menyemak keabsahan syarikat yang memohon untuk mengambil pekerja asing turut menyumbang kepada masalah itu.

Bagaimanapun, katanya, isu sebenar ialah kegagalan kerajaan memerangi rangkaian jenayah terancang yang memperdagangkan pekerja Bangladesh untuk menjadi buruh paksa di Malaysia.

“Kegagalan kerajaan memeriksa kesahan syarikat-syarikat yang memohon buruh asing menjadi faktor mengakibatkan isu pekerja terkandas.

“Tetapi ini hanyalah sebahagian daripada isu yang lebih besar. Isu utama di sini ialah sindiket rentas sempadan,” kata Hall kepada FMT.

Adrian Pereira daripada NGO North-South Initiative mendakwa, ejen pengambilan pekerja menyamar sebagai majikan dan menyalahgunakan kelemahan dalam peraturan pengambilan buruh asing yang longgar, membawa masuk pekerja perkhidmatan dan menyumberkan mereka kepada anak syarikat dan juga syarikat di negeri lain.

Pereira berkata, kegagalan KSM mengambil tindakan berkesan terhadap syarikat-syarikat ini menjadi duluan yang buruk.

“Ia tidak memberikan amaran bahawa kerajaan serius (dalam menangani isu ini). Bagi kami, (pemerdayaan pekerja) serupa dengan pemerdagangan orang,” katanya.

“Mengapa Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, pasukan petugasnya dan sistem rujukan negara tidak digerakkan? Di manakah hukuman teladan terhadap syarikat-syarikat ini? Tiada apa-apa yang dilakukan,” katanya.

Aktivis-aktivis itu berkata demikian susulan laporan bahawa 171 warga Bangladesh ditahan di Pengerang, Johor, pada 20 Dis selepas berjalan beramai-ramai untuk membuat laporan polis terhadap ejen mereka kerana gagal mendapatkan pekerjaan seperti yang dijanjikan.

Walaupun kes itu berada luar bidang kuasa KSM, menterinya yang baru dilantik, Steven Sim memberitahu FMT, kementerian itu akan membantu warga Bangladesh terbabit atas “dasar kemanusiaan” dan memanggil majikan dan ejen yang terlibat untuk membantu siasatan.

Pereira berkata, usaha menangani isu itu akan menjadi cabaran terbesar Sim kerana beliau perlu mengenal pasti puncanya dan menangkap mereka yang bertanggungjawab memanipulasi proses pengambilan dan kelulusan kuota.

“Beliau perlu memastikan bahawa jabatan buruh jelas tentang siapa yang bersalah dalam situasi ini,” katanya.

“Adakah beliau (Sim) hanya akan menggunakan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990) terhadap mereka yang bertanggungjawab, atau mendakwa mereka atas pemerdagangan manusia?”

Hal ehwal buruh asing bawah pejabat PM

Pereira dan Hall mencadangkan agar urusan migrasi buruh diletakkan bawah bidang kuasa pejabat perdana menteri, setelah terbukti KSM dan KDN tidak mampu menyelesaikan isu eksploitasi buruh asing.

Hall berkata, langkah meletakkan isu migrasi bawah KSM adalah naif dan tidak praktikal kerana majoriti buruh asing di Malaysia masih tidak mempunyai dokumen.

Menurutnya, hal ehwal migrasi buruh asing tidak boleh semata-mata dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana migrasi merangkumi tiga aspek, iaitu keselamatan negara, keselamatan ekonomi, dan keselamatan manusia.

“KDN fokus kepada keselamatan negara, jadi ia tidak sepatutnya mengawal migrasi buruh,” katanya.

“KSM juga tidak sesuai kerana tumpuannya adalah pada perlindungan pekerja, bukannya keselamatan, kesihatan dan ekonomi.”

Tiada ulasan: