"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bella disyaki diculik, teman lelaki ditahan

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
BELLA, gambar fail. FOTO Ihsan Keluarga
BELLA, gambar fail. FOTO Ihsan Keluarga
Batu Pahat: Polis mengesahkan sudah menahan seorang individu dipercayai teman lelaki Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wanita itu, pada 14 Disember lalu.

Penahanan suspek berusia 24 tahun yang bekerja di syarikat kurier itu dipercayai mampu merungkai misteri kehilangan wanita itu selepas keluar rumahnya di Taman Soga, pada jam 11.50 malam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"Ya, saya mengesahkan kita menahan lelaki terbabit pada 25 Disember lalu dan suspek masih direman sehingga 30 Disember ini, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat," katanya.

Ismail berkata, suspek direman sehingga 30 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana culik.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pasukan penyiasat meminta barangan peribadi Bella, Ismail berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan kerana siasatan berjalan.

"Polis masih menjalankan siasatan namun saya tidak mengulas lanjut berkenaan kes ini kerana boleh mengganggu siasatan," katanya.

Kelmarin, Ismail memaklumkan pihaknya juga memanggil lima individu untuk merekodkan keterangan berhubungan kehilangan ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Bella dilaporkan hilang selepas keluar rumah pada malam 14 Disember lalu bersama teman lelakinya untuk ke sebuah kedai dobi di Simpang Rantai.

Bagaimanapun, wanita itu bersama teman lelaki disyaki tidak ke kedai dobi terbabit sebaliknya melencong ke tempat lain.

Kehilangannya mula disedari pada keesokannya selepas kakak Bella, Norhisham, 36, gagal menghubunginya.

Susulan itu, laporan polis pertama dibuat kakaknya di IPD Batu Pahat pada 16 Disember disusuli laporan kedua, dua hari kemudian.

Tiada ulasan: