"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Imbasan mahkamah: DNAA Zahid cetus kontroversi, hukuman sebat menanti Syed Saddiq

Syazwana Amir

PETALING JAYA: Tahun 2023 menyaksikan beberapa nama besar terdiri daripada ahli politik dan selebriti mewarnai kamar mahkamah yang prosidingnya mendapat perhatian ramai.

Lensa kamera turut dihala kepada pegawai penguat kuasa termasuk membabitkan seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar berusia 17 tahun dalam satu kejadian langgar dengan kereta di Ipoh, Perak.

Berikut beberapa rangkuman prosiding mahkamah yang mendapat perhatian ramai.

Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 tuduhan

Pada 4 Sept lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi atas kesemua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Pasukan pendakwaan memohon perkara itu yang dibenarkan mahkamah atas beberapa alasan termasuk perlu kaji keterangan saksi perbicaraan serta membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu dikemukakan Zahid.

Bagaimanapun, presiden Umno itu boleh berdepan semula pertuduhan jika pendakwaan meneruskan kes ini, atau mengemukakan kes pada bila-bila masa nanti berdasarkan fakta dan keterangan yang serupa dalam kes ini.

Permohonan itu dikritik pelbagai pihak termasuk Majlis Peguam yang memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara memohon DNAA terhadap Zahid.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihukum penjara 7 tahun, sebat

Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas empat tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada bernilai lebih RM1 juta.

Ahli Parlimen Muar itu turut dikenakan hukuman dua sebatan dalam keputusan yang dibacakan Hakim Azhar Abdul Hamid pada 9 Nov.

Susulan keputusan itu, Syed Saddiq meletak jawatan presiden Muda sehingga proses undang-undang membabitkannya selesai.

Mahkamah bebaskan Muhyiddin tuduhan salah guna kuasa

Pada 14 Ogos, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya semasa menjadi perdana menteri bagi mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta untuk Bersatu.

Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi Bersatu di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Sanusi didakwa menghasut

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada 18 Jul atas tuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan menerusi ceramah politik.

Perbicaraan membabitkan Adun Jeneri itu akan berlangsung selama 12 hari di antara Januari dan Februari tahun depan.

Yasin bebas, diarah ke Hospital Bahagia

Pada 29 Nov, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan penyanyi dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Hakim Faiz Dziyauddin bagaimanapun memerintahkan Yasin ditempatkan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak, untuk menjalani rawatan selama tempoh diperkenan Sultan Selangor.

Pelajar maut didakwa dilanggar, pegawai kanan polis didakwa

Kematian tragis pelajar berusia 17 tahun Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang didakwa dilanggar sebuah kereta pada 15 Dis mengheret seorang pegawai kanan berpangkat Deputi Superintendan ke mahkamah.

Tiga hari kemudiannya, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, didakwa secara tentatif di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1, dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Meru.

Tiada ulasan: