"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Buruh Rohingya pukul isterinya dengan paip getah dipenjara 5 tahun, sebat

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Melaka: Buruh etnik Rohingya yang mencederakan isterinya dengan paip getah kerana mengesyaki wanita itu curang, dipenjara lima tahun dan satu sebatan.

Hukuman diputuskan Hakim Mohd Sabri Ismail di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mendapati Mohd Abdullah, 31, bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Pemegang kad UNHCR itu dituduh sengaja menyebabkan kecederaan dengan memukul muka, badan dan kaki isterinya, Setara Bibi Nor Hussin, 31, dengan paip getah di sebuah rumah di Taman Seri Indah, Tengkera pada 1 pagi, 24 Disember lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Berdasarkan fakta kes, suri rumah pemegang kad UNHCR disoal dan dimarahi tertuduh berkaitan gambar dan video lucah di Facebook yang didakwa milik wanita itu.

Mangsa menafikannya namun, tertuduh tidak berpuas hati dan menuduh isterinya itu bersama adik lelakinya adalah individu dalam rakaman serta didakwa mempunyai hubungan sulit.

Tertuduh yang berang didakwa memukul mangsa di muka, badan dan kaki menyebabkan mangsa bengkak mata sebelah kiri serta lebam dan bengkak di belakang badan, paha kiri dan kanan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Tiada ulasan: