"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN didakwa sedang atur ‘Langkah Dubai’ gulingkan PMX

HarapanDaily.com
PN didakwa sedang atur ‘Langkah Dubai’ gulingkan PMX
SITI NUR ZAWANI 

Pembangkang kini dilaporkan sedang mengatur satu lagi usaha merampas kuasa Persekutuan secara tebuk atap melalui ‘Langkah Dubai’ yang semakin kuat diperkatakan.

Selepas siri Langkah Sheraton dan Langkah London, muncul desas desus pengaturan semula landskap politik Malaysia melalui Langkah Dubai yang didakwa didalangi sebahagian besar pemimpin Perikatan Nasional.

Khabar mendakwa ia turut membabitkan sebahagian pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati dengan rombakan Kabinet dilakukan Perdana Menteri pada 12 Disember lalu.

Kesemua mereka dikatakan sedang melakukan cubaan terakhir menghadap Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai urusan rasmi di Dubai – sebelum peralihan kuasa baginda pada Januari tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop, mendakwa pemimpin PN yang sedang bercuti di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang.

“Menjadi rahsia umum sehari dua ini cerita mengenai percutian di Dubai (melibatkan) tokoh-tokoh dari PN diikuti dengan kehadiran beberapa pimpinan lain yang dikaitkan dengan kumpulan yang tidak senang dengan cara kepimpinan PMX dan kerajaan Madani.

“Maka dikhabarkan ada rumusan “Langkah Dubai”, disusun dengan tugasan diberikan kepada PIC yang ditugaskan untuk bertemu, berunding dengan tawaran-tawaran kepada mereka yang dikenalpasti boleh beralih sokongan kepada mereka.

“Dikatakan juga terdapat jurucakap yang mempunyai kabel dengan kepimpinan di sebelah pembangkang sedang berkeliaran di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, cuba untuk meyakinkan bahawa awal tahun 2024 kerajaan Madani akan tumbang, siap dengan tarikh sekali,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Ismail mendakwa, ada bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan serta sekutu mereka turut terbabit dalam perancangan itu dengan menggunakan segala sumber dalam dan luar negara.

Beliau menyifatkan langkah kali ini sebagai “all out” dan bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Justeru beliau menyarankan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak segera kerana isu ini jelas satu konspirasi yang jahat, mengancam kedaulatan dan keselamatan negara.

“Pandangan tok abah, PMX perlu segera bertindak arahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ketua Polis Negara (KPN) untuk menyiasat beberapa individu yang didapati terlibat secara langsung, bertemu dgn Tun Mahathir dan Tun Daim dan ada kaitan dengan usaha jahat ini untuk disoal siasat atau diambil keterangan mereka.

“Cut off this people dulu dan dedahkan kepada umum peranan kejahatan yang mereka lakukan.

“Tok abah yakin, kalau tindakan ini berlaku, para konspirator dan puak-puak yang lain, yang dibayar, makan upah, pasti akan bertempiaran lari menghilangkan diri,” katanya lagi.

Tiada ulasan: