"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SUV ‘Ganu kita’

Mohsin Abdullah

Ada seorang bekas pemimpin negara pernah diberitakan berkata jika kerajaan mampu membuat sesuatu perbelanjaan itu bukan satu pembaziran. Setuju atau tidak terpulang. Mungkin kerajaan Terengganu sependapat dengan bekas pemimpin itu apabila membeli 10 kenderaan utiliti sukan atau SUV baru bagi menggantikan kenderaan rasmi sedia ada kerajaan negeri.

Bahkan bekas ketua penerangan Umno Terengganu Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar mengakui pembelian kenderaan rasmi baru itu tidak menyalahi peraturan dan tiada masalah dari segi tatacara dan peraturan sekiranya pembelian ada diperuntukkan dalam belanjawan 2023, atau dibeli melalui dana Terengganu Inc (atau mana-mana anak syarikat) dan diluluskan lembaga pengarah.

Cuma (ya, ada cuma) kata beliau yang menjadi isunya “adakah ia satu keperluan mendesak apatah lagi pembayaran dana khas hasil petroleum yang disalurkan dari kerajaan pusat agak terhad jumlahnya.”

“Bagaimana dengan bayaran lain yang perlu dilunaskan oleh kerajaan negeri seperti dalam belanjawan 2023? Yang mana satu lebih utama, rakyat atau exco?” tanya beliau menerusi kenyataan yang disiar Malaysiakini.

Kesimpulannya beliau melihat pembelian itu walaupun mengikut peraturan “janggal dalam keadaan kewangan negeri yang agak terhad ketika ini.”

Untuk rekod pada 3 Okt lalu, Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu Dewan Undangan Negeri kerajaan Terengganu sudah menerima Dana Khas Kerajaan Persekutuan atau DKKP berjumlah RM405 juta dalam tempoh Disember 2022 hingga September tahun lalu. Kata beliau jumlah itu berbeza berbanding anggaran DKKP dalam Belanjawan 2023 berjumlah RM1.5 billion.

Terdahulu tular sekeping gambar di media sosial memaparkan beberapa buah SUV didakwa dibeli kerajaan Terengganu. Ia kemudiannya dibangkit Wan Abdul Hakim yang meminta kerajaan negeri memberi penjelasan.

Tampil Setiausaha Kerajaan Terengganu Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal mengesahkan pembelian 10 SUV berkenaan. Kata beliau, SUV dibeli pada Mei lalu tetapi belum diagihkan termasuk kepada ahli majlis negeri atau Exco. Beliau bagaimanapun tidak beritahu mengapa pengagihan belum dibuat.

Kata beliau, pembelian itu mampu menjimatkan kos penyelenggaraan kenderaan lama dan diluluskan di bawah belanjawan negeri pada tahun lalu. Tiada butiran lanjut dan perincian jumlah yang boleh dijimatkan hasil pembelian itu. Pun begitu kata Tengku Farok “pembelian kenderaan ini tidak perlu dipolitikkan kerana ia diluluskan melalui bajet tahun lalu.”

Menurut beliau, selain SUV turut diluluskan pembelian kenderaan pacuan empat roda jabatan perhutanan negeri tetapi “pembelian jabatan perhutanan tidak pula dipertikaikan termasuk oleh pemimpin politik.”

Sememangnya kenderaan atau apa-apa perbelanjaan untuk kegunaan jabatan kerajaan yakni kakitangan awam jarang atau tidak ditimbulkan sama sekali kecuali ia dibangkitkan laporan audit negara umpamanya berikutan ‘kepincangan’ yang dikesan. Sekadar contoh.

Namun apabila pembelian menggunakan duit kerajaan (yang sebenarnya duit rakyat) untuk orang politik (menteri atau exco) ia pasti menarik perhatian ramai khususnya orang politik sendiri. Ertinya pihak lawan. Ini suatu kelaziman.

Dalam isu SUV kerajaan Terengganu ini kata Tengku Farok sudah menjadi kebiasaan kerajaan negeri untuk menyediakan kenderaan baharu kepada ketua jabatan termasuk exco kerajaan negeri.

“Ketika kerajaan negeri terdahulu, berlakunya pembelian rasmi baru bagi menggantikan kenderaan lama bagi menjimatkan kos penyelenggaraan,” kata beliau dipetik media.

Beliau tidak menamakan parti yang dimaksudkan. Tidak perlu sebut pun kerana umum tahu kerajaan terdahulu Umno-Barisan Nasional. Bolehlah dikatakan beliau menyindir bekas ketua penerangan Umno yang membangkitkan soal pembelian SUV ini. Ertinya dulu boleh sekarang pun boleh lah. Kau buat aku pun buat.

Pun begitu tidak boleh juga dipersalahkan bekas ketua penerangan Umno membangkitkan isu SUV berkenaan. Selaku pembangkang menjadi tugas beliau dan partinya bertindak untuk semak dan imbang, meskipun meminta penjelasan daripada kerajaan negeri ‘hanya’ melalui kenyataan dan tidak secara bersemuka kerana DUN Terengganu sifar pembangkang.

Seperti kita tahu pada pilihan raya negeri Ogos lalu Perikatan Nasional (baca: PAS) menang semua 32 kerusi DUN Terengganu. Maka tanpa seorang pun ahli pembangkang dalam dewan kerajaan negeri dengan mudah dan senang hati (baca: bebas) merencana dan menjalankan rencana tanpa diganggu sesiapa. Pedulikan dakwaan tiada semak imbang sesuatu yang tidak bagus. Bukankah rakyat yang membuat pilihan 12 Ogos lalu dan suara mereka mesti dihormati. Bukan begitu?

Apa lagi hal pembelian 10 SUV tidak besar mana pun. Betul ke ia isu kecil?

Tiada ulasan: