"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Disangka Santa Claus, rupanya polis

AFP
TANGKAP layar daripada video menunjukkan ‘Santa Claus” menyerbu rumah suspek. FOTO Polis Peru
Lima: Taktik skuad polis Peru menggunakan ejen berpakaian Santa Claus untuk menyusup ke kawasan kejiranan yang tidak selamat di luar Lima, berhasil apabila dapat menumpaskan satu sindiket dadah, kata pihak berkuasa pada 23 Disember.
Operasi penyamaran itu membawa kepada penahanan dua lelaki yang menjual kokain dan ganja di sebuah rumah di Huaral, kira-kira 70 kilometer (km) dari sini.

"Ejen menyamar sebagai Santa Claus tanpa disedari di kawasan kejiranan berbahaya ini," kata ketua Skuadron Hijau Polis Negara, Kolonel Walter Palomino, kepada pemberita.

Seorang pegawai polis yang menyamar sebagai Santa Claus memecahkan pintu rumah dengan tukul besi besar dan menahan seorang daripada suspek.

Daripada sorakan riang, 'Santa Claus' itu dan pembantunya, menangkap dua lelaki di situ.

Turut dirampas adalah ratusan paket kokain dan ganja, lapor polis.

Bagaimanapun, polis tidak mendedahkan jumlah atau nilai dadah itu.

Salah seorang daripada mereka yang ditangkap dilaporkan menerusi akhbar sebagai The Grinch. Ia merujuk kepada watak fiksyen yang dicipta oleh pengarang kanak-kanak Amerika Syarikat, Dr Seuss.

Selama bertahun-tahun, polis, di negara Amerika Selatan yang juga salah satu pengeluar kokain terbesar di dunia itu, menggunakan penyamaran ketika operasi antidadah yang dilancarkan pada tarikh-tarikh istimewa.

Pada 31 Oktober lalu, polis menggunakan perayaan Halloween untuk menyamar sebagai watak seram dan menahan dua orang yang dikatakan ahli sebuah kumpulan terbabit dalam aktiviti dadah.

Menjelang sambutan Krismas tahun lalu, polis di Lima, yang berpakaian seperti Santa Claus, melakukan operasi serupa, menangkap empat suspek dan merampas 6,000 paket kokain.

Tiada ulasan: