"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan Selangor minta ‘orang politik’ tak campuri urusan hal ehwal agama Islam

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sultan Selangor minta orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam.

Jawatankuasa itu bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.

Hasil kajian, pandangan, dan syor yang dicadangkan oleh jawatankuasa itu akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-raja.

“MKI juga dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya yang melibatkan undang-undang dan agama Islam,” menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Sultan Selangor.

“Justeru, baginda mengharapkan agar orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.”

Penubuhan jawatankuasa itu menjunjung titah Sultan Sharafuddin, yang juga pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), bagi mengkaji secara mendalam dan kritikal persoalan undang-undang yang berbangkit, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan Perlembagaan.

Semalam, Ngeh ketika mencadangkan pelantikan itu menjelaskan ia agar jawatankuasa tersebut dapat mengambil kira pandangan orang bukan Islam supaya hak dan perlindungan yang diberikan Perlembagaan tidak terjejas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar bagaimanapun menjelaskan bahawa anggota jawatankuasa itu sememangnya terdiri daripada pakar dalam pelbagai lapangan.

Ia turut dianggotai bekas hakim mahkamah persekutuan, wakil Jabatan Peguam Negara, ahli akademik, dan pengamal undang-undang, di samping wakil majlis agama Islam negeri dan mahkamah syariah.

Ia dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara Zaki Azmi.

Tiada ulasan: