Dineskumar Ragu
PETALING JAYA: Hubungan yang semakin renggang antara PAS dan Bersatu dijangka lebih buruk selepas pemecatan Hamzah Zainudin, yang sebelum ini bertindak sebagai orang tengah antara kedua-dua parti, kata penganalisis politik.
Bekas timbalan presiden Bersatu dan ketua pembangkang itu dipecat daripada parti pada Jumaat, bersama 16 lagi pemimpin parti yang sehaluan dengannya.
“Sekarang Hamzah sudah tiada, Muhyiddin Yassin bersendirian dan saya ragui beliau mempunyai hubungan yang baik dengan PAS,” kata Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada FMT.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia juga berkata penyingkiran Hamzah dan sekutunya daripada Bersatu akan menimbulkan rasa kurang senang dalam PAS terhadap Bersatu dan Muhyiddin sendiri, ‘memandangkan PAS sememangnya rapat dengan Hamzah’.
“PAS mempunyai banyak pertikaian dengan Muhyiddin. Saya pasti pemecatan Hamzah tidak mendapat restu PAS. Muhyiddin mungkin tidak akan menikmati kerjasama yang lebih baik daripada PAS pada masa depan,” katanya.
Pada Sabtu, Hamzah memberitahu perhimpunan penyokongnya bahawa beliau tidak akan membuat rayuan terhadap pemecatannya dan menggalakkan mereka menyertai perjuangannya untuk ‘reset’ agenda mereka. Beliau juga melancarkan serangan keras terhadap Muhyiddin, dengan mengisytiharkan dirinya sebagai ‘musuh nombor satu’ presiden Bersatu itu.
Adakah Hamzah akan sertai PAS?
Syaza berkata ada kemungkinan Hamzah menyertai parti itu. Gambar yang dimuat naiknya ketika bertemu pemimpin PAS tidak lama selepas pemecatan dilihat sebagai petanda beliau tidak lagi memerlukan parti lamanya kerana kini mempunyai pilihan lain. Beliau lebih berkemungkinan menyertai PAS berbanding Umno.
Syaza berkata pertemuan Hamzah dengan PAS menunjukkan parti itu lebih selesa bekerjasama dengan kumpulannya berbanding Muhyiddin. “Saya fikir ini kerana wujud rasa lebih menghormati (daripada kumpulan Hamzah) terhadap Hadi,” katanya.
Gambar yang dimuat naik di Facebook menunjukkan Hamzah berada di Masjid Rusila bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dan Penolong Setiausaha Agung Syahir Sulaiman.
Takiyuddin menolak spekulasi bahawa PAS memihak kepada mana-mana puak dalam Bersatu dan menegaskan ia tidak campur tangan dalam krisis dalaman parti itu. Ketua whip Perikatan Nasional (PN) itu juga berkata Hamzah akan terus berkhidmat sebagai ketua pembangkang kerana beliau masih ahli Parlimen pembangkang.
Hamzah berkata dalam perhimpunan Sabtu itu bahawa beberapa pilihan terbuka kepada kumpulannya, termasuk menubuhkan parti baharu atau ‘parti lama dalam rumah baharu’. Katanya, sebarang keputusan sama ada kekal dalam PN atau membentuk jajaran baharu akan dibuat secara bersama.
Mazlan menjangkakan PAS mungkin menyokong Hamzah menubuhkan parti baharu yang boleh menggantikan Bersatu sebagai rakan kerjasama.
Beliau berkata kenyataan sinis Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari dan Bendahari Iskandar Abdul Samad terhadap Bersatu selepas pemecatan Hamzah menunjukkan PAS semakin letih dengan hubungannya bersama Muhyiddin. “PAS kini mengharapkan jajaran atau kerjasama baharu yang dipimpin Hamzah,” katanya.
Pada Jumaat, Fadhli dalam hantaran Facebook ringkas berkata sukar untuk hidup dengan ‘jiran yang bising’, berserta gambar seorang lelaki menutup telinga dengan bantal ketika dua jiran bertengkar. Iskandar pula menulis bahawa ‘kapal yang bergolak tidak boleh memimpin armada, lebih-lebih lagi jika ia sedang tenggelam.’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan