"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Konflik peralihan kuasa punca PH kalah di Tg Piai, kata penganalisis

Nicholas Chung
PETALING JAYA: Dua penganalisis politik mengaitkan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai disebabkan pertelagahan berterusan dalam kalangan parti gabungan itu, sambil menambah “undi protes” menyumbang kepada kemenangan besar Barisan Nasional (BN).

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya dan Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata penyebab utama konflik itu adalah pertikaian mengenai pengganti Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan peralihan kuasa.

Azman menyeru Mahathir menyatakan rancangan penggantian yang jelas sebelum menyerahkan jawatannya kepada presiden PKR Anwar Ibrahim, mengatakan isu itu menjadi sebab utama konflik dalaman PH.

Beliau memberitahu FMT, Mahathir yang seolah-olah tidak mahu menyerahkan jawatannya kepada Anwar menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan akar umbi DAP dan PKR terhadap pengerusi PPBM itu.

“Sudah tiba masanya Mahathir mengumumkan penyerahan kuasa dengan lebih khusus supaya rakyat lebih bersedia. Melambatkan tarikh penyerahan kuasa akan menyebabkan keraguan timbul dalam kalangan rakyat serta dalam kalangan penyokong PH,” kata Azman.

Beliau berkata terdapat persepsi dalam kalangan pengundi Cina bahawa PPBM cuba mengawal PH walaupun kerusi parti itu tidak banyak dalam gabungan tersebut, manakala pengundi Melayu berhati-hati terhadap DAP yang semakin banyak memegang pentadbiran kerajaan yang boleh menyebabkan mereka terpinggir.

Azman berkata kemenangan BN menunjukkan muafakat nasional antara Umno dan PAS tidak mengasingkan orang bukan Melayu, sambil menambah ia akan membimbangkan kepimpinan tertinggi PH.

Bagaimanapun, dinamik politik Malaysia sentiasa berubah dengan masa dan pelbagai situasi.

“Orang Cina tahu kemenangan PRK ini tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri sementara Putrajaya akan kekal di bawah PH. Ini adalah referendum mini orang Cina kepada PH mengenai banyak isu yang mereka tidak puas hati.

“Untuk mengatakan sokongan rakyat beralih kepada pembangkang tidak benar sepenuhnya kerana ia hanya PRK. Tetapi ini adalah amaran awal dan ‘amaran merah’ kepada PH dan perdana menteri untuk melakukan yang lebih baik.”

Azmi memberitahu FMT bahawa PH kehilangan kira-kira 7,000 undi dalam “protes” pengundi. Bilangan undi untuk Wee Jeck Seng hampir sama dengan jumlah yang diperoleh BN dan PAS pada pilihan raya umum tahun lepas.

“Ini dapat dijelaskan oleh jumlah pengundi hanya 73% berbanding 86% pengundi pada tahun lepas. Sebanyak 13% pengundi luar mewakili 7,000 pengundi tambahan, di mana PH kehilangan sebahagian besar sokongan mereka.

“Jika PH tidak membetulkan atau menghentikan perbalahan yang berlaku dalam pandangan umum, maka saya meramalkan kerajaan PH akan menghadapi kemarahan rakyat – dengan atau tanpa pilihan raya kecil.”

Ulama PAS rai kemenangan Jeck Seng

Seorang ulama PAS mengaitkan rasa gembiranya dengan kemenangan pemimpin MCA di Tanjung Piai semalam dengan sirah pada sahabat Rasulullah SAW berkaitan kemenangan empayar Rom.
Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Mokhtar Senik, berkata sejak menyertai politik beliau tidak pernah berasa gembira dengan kemenangan BN atau MCA.
Namun ulama kanan PAS itu memberitahu kemenangan BN dan MCA itu diraikannya buat kali pertama semalam.
"Kalau ada yang tak faham, pi (pergi) mengaji sejarah kegembiraan pada sahabat Rasulullah dengan kemenangan Rome," katanya di media sosial petang ini.
Ketua MCA Tanjung Piai diumum sebagai pemenang PRK yang diadakan semalam mengatasi calon PH, Karmaine Sardini, serta empat calon lain.
Kejayaan pembangkang itu dicapai ketika pendirian PAS terhadap MCA dan calon bukan Melayu dipertanyakan sesetengah pihak kerana bercanggah dengan sikap mereka kepada calon bukan Islam dalam PRK di Cameron Highlands.
Kempen di Tanjung Piai juga menyaksikan PAS tidak lagi membawa agenda undang-undang Islam serta isu rang undang-undang mahu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang menjadi perjuangan menonjol parti itu sebelum PRU ke-14 tahun lalu.
Dalam hantarannya itu juga Mokhtar sempat menyindir pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Rozaime Ramle, selepas kedua-dua mereka dilihat berbalas hujah sejak beberapa hari lalu.
Antara lain, Rozaime yang terkenal sebagai ulama yang menguasai bidang hadis mempertikaikan sikap PAS yang dilihat berubah-ubah dalam pendirian politik.




"Ada komen apa-apa daripada ustaz Amanah atau PH?
"Mana tahu, kut-kut ada pakar hadis PH yang nak kata hujah agama telah digunakan untuk tujuan politik," kata Mokhtar yang juga ahli Jawatankuasa Ulama PAS Pusat.
Kegembiraan turut dikongsikan seorang lagi ulama kanan PAS.
Ahli Parlimen Bachok yang pernah mengaku berkawan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA), Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Juga menggunakan media sosial beliau menyatakan kesyukuran atas kemenangan Wee semalam.
"Alhamdulillahirobbil Alamin... Tahniah Tanjung Piai," katanya ringkas.

PRK Tg Piai: Kaji selidik IDE salah lagi, kata penganalisis

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik mempersendakan kaji selidik sebuah badan pemikir dikaitkan dengan PKR, Institut Darul Ehsan (IDE) yang jauh meleset bagi Pilihan Raya Kecil Semenyih dan Tanjung Piai.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, dua kaji selidik IDE menyatakan Pakatan Harapan mendahului Barisan Nasional dengan 9% sokongan dalam PRK Semenyih dan Tanjung Piai, tetapi hakikatnya BN muncul sebagai pemenang.

Katanya, kaji selidik IDE pada 9 hingga 11 November lalu menunjukkan PH dapat mengalahkan BN di Tanjung Piai, namun sebaliknya berlaku apabila gabungan parti pemerintah itu kalah dengan majoriti 15,086 undi.

“Menggunakan sampel 1,200 pengundi, kaji selidik IDE pada 9-11 November 2019 menunjukkan PH mengatasi BN dengan 9%, bila PH mendapat 53% sokongan berbanding 44% sokongan untuk BN dalam PRK Tanjung Piai,” tulisnya di Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata, menggunakan sampel 1,142 pengundi, kaji selidik IDE pada 31 Januari hingga 1 Februari lalu menunjukkan PH mendapat 46% sokongan berbanding 37% sokongan bagi BN pada PRK Semenyih.

“Malangnya, pada akhirnya BN yang muncul sebagai pemenang dalam PRK Semenyih dengan majoriti 1,914 undi

“Agaknya apa yang tidak kena dengan kaji selidik IDE ya?” soalnya.

Semalam, IDE dilaporkan berkata, PH mendahului BN lebih sembilan mata dalam PRK Tanjung Piai pada Mac lalu.

Berdasarkan kajian responden, 53% daripada 1,200 responden menyatakan mereka akan mengundi calon PH, Karmaine Sardine, manakala 44% lagi memilih calon BN, Wee Jeck Seng.

Kajian IDE tersebut turut menunjukkan baki 3% akan mengundi calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Badhrulhisham Abdul Aziz, calon Gerakan, Wendy Subramaniam dan dua calon bebas, iaitu Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Tetapi, keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan Wee menang dengan 25,466 undi, menewaskan Karmaine yang memperoleh 10,380 undi.