"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan Pahang seru kerajaan haram vape sepenuhnya

FMT Reporters

Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah titah kerajaan tidak perlu menimbang bagi haramkan penggunaan vape yang menyumbang ketagihan dadah.
Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah zahir kebimbangan salah guna dadah makin meningkat, didorong secara langsung dan tidak langsung bermula penggunaan vape. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mencadangkan rokok elektronik atau vape diharamkan dengan kerajaan tidak perlu lagi menimbangkan kewajarannya.

Titah baginda, seruan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap salah guna dadah yang semakin meningkat di Pahang, terutamanya dalam kalangan belia berdasarkan statistik Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK).

Titahnya, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula penggunaan vape.

“Alat vape ini adalah alat yang merosakkan kesihatan. Saya akan menyuarakan kepada kerajaan supaya vape perlu diharamkan secara total.

“Tidak perlu diberi pertimbangan sewajarnya, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia,” titahnya menurut Sinar Harian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) 2024, di Kuantan.

Sebelum itu, baginda berkenan bercemar duli mengurniakan anugerah kepada 52 pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Dalam majlis terbabit, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan anugerah kecemerlangan kepada dua pelajar MTNP iaitu Akif Ibrahim, 18, dan Nur Amelia Diyana Azman, 18, yang memperoleh keputusan 11A dalam SPM tahun lalu.

Al-Sultan Abdullah bertitah, berdasarkan rekod AADK, Pahang merupakan negeri kelima teratas di seluruh negara dengan 11,750 penagih.

Titah baginda, daripada jumlah itu, sebanyak 57% daripadanya adalah penagih muda yang berusia 15 hingga 30 tahun.

“Ini peluang saya untuk membuat kenyataan tentang kebimbangan saya terhadap pasal isu dadah khususnya di sekolah -sekolah di negeri Pahang, sudah sampai masanya ibu bapa di negeri ini tidak kira sama ada anak mereka terlibat nak minta mereka bantu.”

Baginda turut menzahirkan kebimbangan dengan angka penagih berkenaan dan khuatir jumlah itu makin bertambah jika tidak diberi perhatian.

Tiada ulasan: