FMT Reporters
Mangsa hanya diberi makan dan minum serta dipaksa melakukan aktiviti seks dari pagi hingga tengah malam.
Imigresen berkata, dua wanita berusia 30 dan 34 tahun dibawa ke Malaysia selepas dijanjikan gaji RM2,000, namun ditipu sindiket.
PETALING JAYA: Dua wanita Bangladesh dijanjikan pekerjaan di negara ini diperdaya untuk dijadikan ‘hamba seks’ berjaya diselamatkan imigresen, dalam operasi khas di sekitar Kuala Lumpur.
Imigresen berkata, operasi dijalankan pada 2.38 petang semalam itu, dua warga asing masing-masing 30 dan 34 tahun dipaksa menjalankan aktiviti seks dari pagi hingga tengah malam.
Katanya, mereka tidak diberi sebarang bayaran dan hanya disediakan makan dan minum sahaja.
“Pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 36 tahun yang dipercayai sebagai dalang utama.
“Hasil serbuan, pasukan operasi turut menahan dua lelaki warganegara Bangladesh berusia 30 dan 39 tahun yang dipercayai sebagai ahli sindiket dan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 50 tahun yang merupakan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, modus operandi sindiket adalah membawa masuk wanita warganegara asing terutamanya daripada Bangladesh dan menjanjikan pekerjaan di Malaysia dengan bayaran gaji RM2,000 sebulan.
“Mangsa dipercayai telah dieksploitasi sejak sebulan yang lepas,” katanya.
Imigresen akan meneruskan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Orang ramai dialu-alukan untuk terus menyalurkan maklumat yang dapat membantu Jabatan dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan