Bernama
Mangsa ditemukan pada 5.10 petang tadi iaitu 3.7km dari lokasi dilaporkan terjatuh. (Gambar JBPM)
JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang terjatuh ke dalam longkang besar di kawasan Bandar Baru Uda, Tampoi, semalam, ditemukan lemas di tebing Sungai Danga petang tadi.
Komander Operasi Bomba, Nordatul Badrol Abd Rahman, berkata mangsa ditemukan pada 5.10 petang oleh anggotanya iaitu 3.7km dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
“Pasukan Keluaran Operasi membuat pencarian menggunakan sebuah bot di sekitar Sungai Danga selain sebuah jentera Fire Rescue Tender dan dua utiliti dengan kekuatan 12 anggota serta lapan anggota Pasukan Penyelamat di Air.
“Operasi mencari dan menyelamat ini turut melibatkan polis dan Angkatan Pertahanan Awam dengan masing-masing tujuh anggota,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh, berkata ketika kejadian, mangsa serta dua rakan lelaki berusia tujuh dan lapan tahun bermain air di tepi longkang berhampiran lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang selepas tergelincir dan dihanyutkan arus deras ke arah longkang besar berhampiran sebuah pasar raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan