"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

GISB: Taasub rebut 'Ikhwan 313'

Harian Metro
am@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pengikut ditanam dengan fahaman supaya taasub kepada pemimpin syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) selain disaran berebut untuk menjadi insan terpilih sebagai 313 tentera Imam Mahdi bergelar Ikhwan.

Malah pengikut juga ditanam dengan doktrin lagu nasyid yang dicipta bagi merebut tempat sebagai 313 tentera Imam Mahdi manakala Abuya pula adalah putera Bani Tamim yang tidak mati sebaliknya dia diangkat ke langit.

Demikian pendedahan bekas pengikut GISBH, Dalila Diyana, 30-an yang menceritakan semula pengalamannya semasa berada dalam kumpulan itu sejak berusia enam tahun.

Dalila berkata, keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengesahkan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa Nasiruddin Mohd Ali dan GISBH sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam adalah amat tepat.

Menurutnya, sejak kecil lagi dia dan pengikut kumpulan itu diajar supaya berlumba-lumba untuk dipilih menjadi tentera Imam Mahdi.

"Kami turut diperdengarkan lagu nasyid setiap hari dengan ada bait liriknya seperti 'rebutlah Ikhwan (tentera Imam Mahdi) di akhir zaman.

"Ketika dalam jemaah itu kami diajar kononnya mereka memperjuangkan ekonomi Islam, buat kerana Allah dan nak jadi tentera Imam Mahdi yang tak ramai akan terpilih dan perlu ada tapisan," katanya.

Katanya, setiap pengikut turut ditanam dalam kepala masing-masing bahawa Abuya tidak meninggal dunia sebaliknya hanya ghaib dan dia diangkat ke langit.

"Setiap hari ada kuliah untuk berjuang serta kutipan tabung taqwa dengan kami tidak dibayar gaji. Dari kecil sehingga dewasa, kehidupan saya hanya dalam jemaah itu dan kami diajar orang luar bukan ahli jemaah dan mereka yang menentang adalah musuh," katanya.

Menurut Dalila, paling menyedihkan apabila pemimpin kumpulan itu membuat undang-undang sendiri menghukum tanpa keadilan.

"Saya pernah dikurung, dipukul, ditampar kerana bertanya secara logik dan tidak taat kepada pemimpin.

"Terima kasih buat MKI kerana memutuskan GISBH sesat dan terima kasih juga kepada Ketua Polis Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan Op Global namun saya berharap kegiatan ini perlu dilumpuhkan sepenuhnya kerana jika tidak lagi lima tahun mereka akan bangkit semula," katanya.

Pengerusi MKI, Datuk Dr Nooh Gadut sebelum ini berkata mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-125 yang berlangsung pada 24 hingga 26 September lalu memutuskan GISBH sesat.

Sebelum ini Harian Metro dan Metro Ahad menerusi laporan eksklusif sejak 7 September lalu melaporkan, bakar tangan, cabut rumput sehingga penuh plastik hitam dan salah laku seksual antara bentuk penderaan yang dilakukan sebuah rumah kebajikan yang bernaung di bawah sebuah syarikat berkaitan produk Islam terkenal.

Susulan pendedahan akhbar ini, ia turut mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyelamatkan kanak-kanak terancam dan perlukan perlindungan.

Susulan itu, polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 10 September lalu.

Tiada ulasan: