Nor Fazlina Abdul Rahimn
fazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Polis Kelantan akan menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara dan Thailand di sepanjang Sungai Golok, berkuat kuasa 1 Disember ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika mengumumkan perkara itu berkata, mereka melakukan kesalahan itu akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).
"Saya sudah mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pegawainya supaya mengadakan pemantauan 24 jam di sempadan.
"Mereka (rakyat Malaysia) yang keluar ikut Sungai Golok dan kembali semula ke Malaysia, kita akan tangkap berkuat kuasa 1 Disember ini. Begitu juga dengan rakyat Thailand.
"Justeru itu, kita mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan pangkalan haram sama ada untuk ke Thailand atau Malaysia, sebaliknya menggunakan laluan sah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, Seksyen 5(1) Akta 155 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000.
"Tujuan kita memperketatkan sempadan bagi mengelak berlaku jenayah rentas sempadan dengan membawa barangan salah.
"Selama ini kita tidak guna Seksyen 5(2) Akta Imigresen, namun bermula 1 Disember ini kita akan kuatkuasakannya selepas kita mengadakan mesyuarat dengan kerajaan negeri," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, akan berbincang lebih lanjut dengan kerajaan negeri bagi murid dan pelajar sekolah yang menyeberangi Sungai Golok menggunakan laluan itu.
"Kita akan mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu pelajar sekolah di mana ada rakyat di sini sekolah di Thailand dan ada juga rakyat sana belajar di Malaysia.
"Kita akan bincang sama ada operasi ICQS akan dibuka lebih awal untuk kumpulan pelajar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan