Anne Muhammad
Penganalisis berkata desakan Gerakan tidak mengejutkan, malah perlu dilakukan dalam landskap politik Malaysia.
Menurut penganalisis, secara realitinya, PAS tidak akan memenuhi gesaan Gerakan untuk membuat deklarasi bukan Melayu dalam usaha mengurangkan tekanan komuniti itu memilih komponen terbabit pada PRU16.
PETALING JAYA: Kecenderungan pimpinan PAS hari ini kepada ‘kerajaan Melayu-Islam’ mungkin menyebabkannya enggan menyokong Perikatan Nasional (PN) membuat deklarasi bukan Melayu seperti gesaan Gerakan, kata penganalisis.
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) percaya permintaan Gerakan dan komuniti bukan Islam itu tidak akan menjadi isu besar ketika Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat menjadi antara pimpinan.
Bekas menteri besar Kelantan itu meninggal dunia pada Februari 2015.
“Waktu itu PAS cuma fokus isu ‘kebajikan’ dan ‘Islam’,” katanya kepada FMT.
“PAS ketika ini nak ulas Sijil Peperiksaan Bersepadu, sekolah vernakular, pilihan raya pihak berkuasa tempatan, termasuk bertindak menutup pusat judi di Kedah.”
Lau berkata desakan Gerakan itu tidak mengejutkan, malah memang perlu dilakukan dalam landskap politik Malaysia.
“Dah jadi tugas Gerakan raih undi bukan Melayu tapi pada masa yang sama, secara realiti, PAS sekarang ini takkan penuhi tuntutan itu,” katanya.
Pada 2011, Presiden Hadi Awang melancarkan buku ‘Negara Berkebajikan: Tawaran PAS’ yang merupakan lanjutan agenda ‘Negara Kebajikan’ yang digunakan semasa kempen PRU 2008.
Nik Aziz mempertahankan idea Negara Berkebajikan, yang menurutnya mendekatkan ‘masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan’, lapor Malaysiakini.
PRU 2008 menyaksikan gabungan pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat (PR), membentuk kerajaan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor, selain Kelantan.
PRU seterusnya, iaitu pada 2013, menyaksikan peralihan undi pengundi Cina di kawasan bandar daripada MCA dan Gerakan kepada PR.
Semalam, Dominic Lau yang juga timbalan pengerusi PN menggesa komponen itu mewujudkan deklarasi untuk bukan Melayu dalam usaha mengurangkan tekanan komuniti itu untuk memilih komponen terbabit pada PRU16.
Dakwanya, ini kerana ketika ini ada bukan Melayu dan Islam bimbang dan takut terhadap PAS yang menjadi blok parti Melayu terbesar dalam PN serta mempunyai bilangan kerusi terbanyak di Parlimen.
Sementara itu, Syaza Shukri dari UIAM menegaskan bahawa deklarasi sahaja tidak boleh menyelesaikan masalah keyakinan komuniti bukan Melayu.
“Mereka lihat pada kata-kata, retorik, dan polisi di negeri-negeri PAS. PN sememangnya adalah dilihat sebagai blok Melayu kerana ketidakseimbangan parti-parti PN,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan