Buletin TV3

Keadaan kenderaan dipandu seorang lelaki yang melanggar mangsa di Jalan Paya Mengkuang. – Foto IPD Alor Gajah
ALOR GAJAH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melintas jalan di Jalan Paya Mengkuang, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.09 petang itu, mangsa, Muhammad Iman Nazzhan Jasri, dipercayai sedang melintas dari taman perumahan ke seberang jalan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, berkata siasatan awal mendapati ketika melintas, mangsa dilanggar sebuah Toyota Avanza dipandu seorang lelaki berusia 64 tahun yang datang dari arah Paya Mengkuang ke Masjid Tanah.
“Akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah, namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, keadaan jalan di lokasi ketika kejadian adalah satu lorong dua hala dengan permukaan jalan kering serta cuaca yang baik.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan brek sepanjang kira-kira lima meter, dan kenderaan terbabit mengalami kerosakan di bahagian hadapan. Kita turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemandu terbabit yang bekerja sebagai penyelia dan didapati negatif bahan terlarang,” katanya.
Ahmad berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat untuk menentukan punca kematiannya.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nurul Salina Rosli, di nombor 011-2543 5507 atau hadir ke balai polis berhampiran.
