Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes menyebabkan kecederaan menggunakan senjata serta penderaan kanak-kanak di sebuah premis perniagaan di sini, yang tular di media sosial.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 11.55 malam, 14 Disember lalu, membabitkan sekumpulan pelajar sebuah madrasah dan seorang lelaki berusia lingkungan 30 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Kasim berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta peranan individu terlibat berdasarkan rakaman video yang tular.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dan elak daripada membuat spekulasi.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial yang memaparkan lelaki bertindak memukul beberapa remaja di sebuah premis, termasuk menggunakan topi keledar, yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan