Juwan Riduan
KOTA KINABALU: Empat individu dipercayai ahli keluarga mangsa ditahan selepas dilaporkan cuba menghalang tugas polis ketika pasukan keselamatan menjalankan tangkapan terhadap seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes membelasah pelajar madrasah di Telipok, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, semua individu terbabit didakwa bertindak menghalang pergerakan kenderaan polis, termasuk menggunakan sebatang kayu golf, ketika anggota polis sedang melaksanakan tugasan mereka.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan pegawai polis sedang menjalankan tugas bagi menangkap suspek untuk membantu siasatan kes kecederaan dan penderaan kanak-kanak yang telah dilaporkan sebelum ini.
“Siasatan awal mendapati beberapa individu dipercayai ahli keluarga mangsa bertindak menghalang kenderaan polis, mengeluarkan kata-kata kesat, cuba membuka pintu kenderaan serta menendang dan memukul kenderaan berkenaan sehingga menjejaskan tugas polis.
“Pihak polis telah membuat tangkapan ke atas empat lelaki berusia antara 30 hingga 50-an serta merampas sebatang besi golf yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan pihak polis akan memohon perintah reman ke atas semua suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, selain mengarahkan mereka menjalani ujian saringan air kencing dan merakam percakapan saksi kejadian.
Semalam, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki memukul sekumpulan remaja di sebuah premis, termasuk menggunakan topi keledar, selain dilihat menampar dan menendang mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan