A Kadir Jasin
Banyak orang Melayu, sama ada kerana suka, berani, berkepakaran atau terpaksa, menjadi pengawal keselamatan.
Ada yang jadi pengawal keselamatan (bodyguard) orang perseorangan dan ada yang jadi pengawal tempat perniagaan atau kediaman.
Sudah sejak sekian lama, kalau kita nampak orang kenamaan, tauke, taikun, jutawan di mana-mana, kita akan nampak bodyguard bersenjata berpakaian seragam bushjacket warna biru atau hitam.
Tidak kiralah orang kenamaan, tauke, taikun dan jutawan itu bangsa apa, tetapi bodyguard selalunya Melayu dan sedikit-sedikit India. Jarang sekali nampak bodyguard Cina.
Yang ramai guna perkhidmatan bodyguard ini adalah orang Cina. Ini adalah kerana majoriti tauke dan taikun adalah di kalangan orang Cina.
Tapi bukan tauke, taikun dan orang kenamaan saja ada bodyguard. Penjenayah pun diketahui menggunakan perkhidmatan bodyguard.
Kalau ada bodyguard profesional yang sanggup bekerja dengan penjenayah, itu agak luar biasa. Mustahil dia tidak periksa dulu latar belakang majikannya. Boleh jadi kerana upah lumayan atau dia pun daripada jenis yang tumpang sekaki.
Masa berubah, keadaan bertukar. Waktu saya belajar jadi wartawan pada tahun 1969, pemberitaan jenayah adalah antara bidang yang diwajibkan. Masa itu, kebanyakan penjenayah bersenjata adalah orang Cina.
Kongsi gelap (secret society) masih berleluasa. Adalah kelaziman yang kongsi gelap hanya dibentuk dan dianggotani oleh orang Cina.
Kumpulan jenayah Melayu dan India tidak ditubuhkan dalam bentuk kongsi gelap. Mereka ada kumpulan dan geng saja. Jenayah mereka kecil dan mudah ditumpaskan. Tangkap seorang, pulas alat sulit, habis rahsia keluar. Semua kena tangkap.
Kongsi gelap Cina lain. Mereka ada upacara angka sumpah guna darah dan kod tatatertib sepi (code of silence) hingga sanggup mati. Ahli yang pecah rahsia berisiko dibunuh.
Cerita seorang bodyguard mati ditembak di Negeri Sembilan baru-baru ini agak pelik sebab yang dikawalnya itu ada rekod jenayah. Maka tidaklah salah kalau ada pembahas media sosial yang kata, kalau tahu bos ada rekod jenayah, pasal apa kerja dengan dia?
Banyak orang Melayu jadi bodyguard kepada tauke dan taikun. Kebanyakan mereka bekas polis dan tentera. Ini bukanlah baru. Dulu kala pun banyak orang Melayu jadi bodyguard. Mereka digelar pahlawan dan panglima bersenjatakan keris, pedang, tombak dan anak panah.
Daripada laporan media massa, nampaknya banyak penjenayah yang ada rekod masih berkeliaran. Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, kena jawab.
Sekarang ini, yang cepat diambil tindakan adalah orang awam yang tulis atau bersiaran di media sosial. Polis sepatutnya utamakan tangkapan ke atas penjenayah berekod sebelum tangkap pengguna media sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan