"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Forum Ekonomi Islam: Sokong Iran boikot APCO-Israel

Idris Ahmad
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu Forum Ekonomi Islam Dunia (World Islamic Economic Forum -WIEF) kali ke-6 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre pada 18 hingga 20 Mei 2010 membincangkan beberapa isu berkaitan hubungan ekonomi negara-negara Islam dengan Israel secara serius.

Forum yang dihadiri oleh ketua-ketua negara yang majoriti rakyatnya Islam harus melihat perkara ini sebagai isu bersama. Jika di Malaysia kita dikejutkan dengan hubungan kayu tiga Malaysia-Israel melalui promosi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, syarikat perunding APCO Worldwide, Satchi & Satchi serta pelbagai pertemuan sulit pemimpin Umno dan Menteri Israel. Di negara lain pula ada yang secara terbuka menjalikan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Israel seperti Indonesia, Turki, Jordan, Mauritania dan beberapa lagi negara.

Perkara ini harus diperhalusi oleh setiap ketua-ketua negara yang kononnya menjadi kumpulan simpatisan kepada Palestin yang dizalimi Israel sedangkan mereka semua termasuk Kerajaan BN Malaysia bersekongkol untuk menyokong Zionis Israel. Mereka kena boikot Israel dan semua syarikat yang ada hubung kait dengan pelobi Israel termasuk APCO.

PAS yakin umat Islam seluruh dunia menuntut keikhlasan ketua-ketua negara Islam untuk melihat apa yang dilakukan oleh regim Zionis Israel kepada Palestin dan segera memulaukan negara haram yang tidak berdaulat itu.

PAS mahu pemimpin-pemin Islam secara terbuka menyatakan komitmen mereka dalam forum ini untuk menekan Israel sebagaimana Israel kini melobi dengan kuatnya di Majlis Keselamatan PBB untuk menekan negara Iran yang menjadi ancaman mereka.

PAS juga mahu, negara-negara Islam menyatakan pendirian mereka terhadap isu di Iraq, Afghanistan dan terkini di Iran. PAS mahu, ketua-ketua negara Islam menunjukkan bahawa mereka boleh bersatu mempertahankan Iran daripada dikenakan sekatan ekonomi. Inilah masanya untuk mereka menunjukkan kepada dunia bahawa mereka bukan budak suruhan Amerika.

PAS menanti reaksi Kerajaan Malaysia dan persiapan forum ini. Diharapkan forum yang akan memfokuskan 8 perkara melibatkan soal pelancongan, logistik, SMEs, pengurusan air, penjenamaan, teknologi pendidikan, keusahawanan dan etika perniagaan, inovasi dan perbankan Islam ini tidak menutup mata dan pemikiran mereka dari memikirkan soal kezaliman Israel kepada Palestin.

Ustaz Idris Ahmad,

Ketua Penerangan PAS Pusat.

Tiada ulasan: