"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kemunasabahan Polis Tembak Sampai Mati diPertikai

MerdekaReview

Forum keadilan untuk adik Aminulrasyid (Bahagian Pertama)

Adakah keadaan terlampau ekstrem sehingga polis perlu menggunakan senjata api untuk menembak mati adik Aminulrasyid?"Kita tengok, jumpa parang dalam bonnet(dakwaan polis), apa bahayanya? Saya tak nampak apa bahaya, kecuali kalau parang itu diayunkan (wave) pada polis. Tapi kalau diayunkan pada polis, (itu pun) dalam kereta sahaja. Melainkan (ayunan parang) dalam keadaan bertentang muka (confronted, face to face)."

"Kalau dalam keadaan pertentangan yang bersemuka pun, polis masih boleh tembak pada kaki (Aminul). Why must you kill (Mengapa kamu membunuh)?"

Demikianlah kupasan dan pertikaian yang dilontar oleh pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Raja Badrol Hisham terhadap polis, ketika mengulas isu adik Aminulrasyid, remaja berusia 14 tahun yang ditembak mati oleh polis, pada awal pagi 26, April.

Berbekalkan dokumen perundangan seperti Kanun Prosedur Jenayah, Perintah Tetap Ketua Polis Negara dan sebagainya, pensyarah UIAM ini mengupas bagaimana cara yang sewajarnya untuk mengendalikan kes arwah Aminulrasyid, seandainya polis mengikut lunas undang-undang.

Syarat tangkapan tanpa waran

Raja Badrol Hisham bermula dengan Seksyen 15 Kanun Prosedur Jenayah, yang menyatakan tiga cara tangkapan polis, iaitu menyentuh tubuh badan, mengurung badan orang yang ditangkap dan ketiganya, orang yang ingin ditangkap menyerah diri.

Menurut Seksyen 23 Kanun Prosedur Jenayah, tangkapan tanpa waran memerlukan syarat seperti bersandarkan aduan munasabah (reasonable complaint) dan informasi yangcredible. Sambil berseloroh mengandaikan dirinya pendakwa raya di mahkamah dalam kes ini, Raja Badrol Hisham (gambar kiri) berkata polis mungkin memberi justifikasi dengan prasyarat ketiga, iaitu "telah wujud syak yang munasabah di mana orang yang nak ditangkap terlibat dengan jenayah".

Jelasnya, perilaku jenayah yang dimaksudkan termasuklah kononnya arwah Aminulrasyid membawa kereta dengan laju, melepasi dua atau tiga lampu trafik, lari dari kereta dan tidak berhenti apabila dikejar polis.

Pensyarah undang-undang ini kemudiannya memetik seksyen 15 (2) Kanun Prosedur Jenayah yang membenarkan polis untuk menggunakan kekerasan ketika mencegah orang itu daripada melarikan diri. Raja Badrol Hisham mengingatkan, sungguhpun undang-undang membenarkan polis menggunakan segala langkah yang perlu untuk melakukan tangkapan, termasuk tembak mati, tetapi ia terikat dengan syaratnya.

"Misteri" parang terjawab

"Tembak sampai mati? Boleh, tetapi mesti jatuh kepada jenayah yang mungkin dilakukan itu ialah satu jenayah yang boleh dihukum mati, sekiranya dia disabitkan salah di mahkamah nanti."

Malah, Raja Badrol Hisham menambah, selain hukuman mati, tembakan sampai mati juga dibenarkan untuk kesalahan jenayah yang mengundang hukuman penjara seumur hidup. Kenyataan ini mungkin menjelaskan mengapa "parang misteri" dikatakan ditemui dalam kereta Aminulrasyid (gambar kanan), kerana hukuman untuk jenayah rompakan bersenjata adalah penjara seumur hidup.

"Bila penjara seumur hidup, boleh ditembak sampai mati," kata Raja Badrol Hisham, sambil mendakwa bahawa tuduhan parang ditemui itu adalah untuk menyelindung polis semata-mata (to cover their back).

Biarpun bersetuju dengan kenyataan Ketua Polis Negara bahawa "kereta digunakan sebagai senjata", namun Raja Badrol Hisham mempertikaikan, "Apakah bukti cukup?" Berhubung dakwaan ini, beliau mencadangkan agar pakar forensik mengenalpasti sama ada kereta arwah Aminulrasyid berundur, kerana kesan tayar pada jalan akan berbeza jikalau kereta mengundur.

Syarat menggunakan senjata api

Beliau membacakan syarat yang terkandung dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara, ketika polis menggunakan senjata api, iaitu "jika seseorang sedang diserang dengan cara yang boleh mendatangkan perasaan takut, iaitu akibat daripada serangan itu boleh mengakibatkan kematian atau cedera parah"; lantas menjelaskan bagaimana dakwaan bahawa "arwah mengundur keretanya untuk merempuh polis" sebagai justifikasi polis melepaskan tembakan.

Beliau menambah, "menembak orang hanya dengan tujuan untuk mencederakan orang, menjatuhkan orang itu atau menahan kesalahan itu daripada berlaku." Malah, beliau menyambung, "jika keadaan mengizinkan, haruslah ditujukan kepada kaki orang itu."

Bagaimanapun, ketika syarat tersebut diaplikasikan ke dalam kes Aminulrasyid, Raja Badrol Hisham mengakui bahawa polis tidak dapat menembak kaki arwah kerana arwah memandu dalam kereta, tetapi harus dihalakan ke arah roda kereta.

Pensyarah undang-undang ini beberapa kali mempertikaikan, apakah situasi ketika kejadian berlaku begitu "ekstrem" dan merbahaya, sehingga memerlukan polis untuk menembak, malah dikatakan kira-kira 20 peluru ditaburkan ke arah kereta arwah Aminulrasyid?

Rangkaian Command Center

Ketika mengulas kes ini, Raja Badrol Hisham berkata, "Dalam kejar-mengejar ni, dia (polis) akan refer kepada command center. Dapatkan maklumat. Semasa mengejar, kalau dia dapat nombor kereta tu, dia boleh gunakan rangkaian command center. Di setiap daerah (district), dia ada command center daerah. Ada juga command center negeri (state), dan di Bukit Aman dia ada command center nasional."

Dengan kata lain, polis sebenarnya boleh mengenalpasti sama ada kereta yang dikejar itu kereta penjenayah atau tidak kerana mereka dapat akses kepada Jabatan Pengangkutan Jalanraya. Malah, sesetengah kereta rondaan kini dibekalkan dengan kemudahan yang canggih, termasuk komputer untuk mendedahkan polis kepada maklumat yang diperlukan semasa rondaan.

Tidak cukup dengan itu, Raja Badrol Hisham mengingatkan bahawa kejadian tembakan berlaku di kawasan perumahan, di mana itulah kawasan yang sering dironda polis. Beliau berkata, dalam kawasan perumahan, dua kereta yang menutup kedua-dua penghujung jalan sudah memadai untuk menghalang seorang budak daripada melarikan diri.

Tembak mati: "Jimat"

Raja Badrol Hisham berkata, "Daripada itu, mereka (polis) mengambil jalan pintas. Tembak mati lagi senang. Ikut kawan saya yang ada dekat D9 (Jabatan Siasatan Jenayah) itu, quote word dia orang, 'jimat'."

"'So, kita (polis) tutup semua. Jimatkan keadaan'. Untuk mereka (polis), jimat duit rakyat," katanya itu mengundang ketawa hadirin, sebelum beliau melontarkan soalan, "Tapi, bolehkah kita jimat keadilan? Keadilan tidak boleh dikompromi."

Ketika menyimpulkan pembentangannya, Raja Badrol Hisham berkata, "kematian arwah (Aminulrasyid) ini sebenarnya boleh dielakkan, sekiranya pihak polis faham IGSO (Inspector General Standing Orderatau Perintah Tetap Ketua Polis Negara) itu sendiri."

Lebih mengejutkan, apabila beliau mendedahkan, "Saya rasa terkilan juga, bila IGSO ini hanya dibekalkan kepada Ketua Polis Daerah. Pegawai-pegawai biasanya tak dapat. Kalau kita nak didik anggota polis ni, tentang kuasa mereka, maka setiap seorang mereka mesti ada IGSO. Dan setiap satu OCPD pun patut ada CPC (Kanun Prosedur Jenayah)."

Beliau berkata sedemikian kepada kira-kira 100 orang yang hadir dalam forum keadilan untuk adik Aminulrasyid, bertemakan "Bersatu pertahan Hak Asasi Rakyat", anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bersama Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

Selain Raja Badrol Hisham, ahli panel yang diundang termasuklah peguam bagi pihak keluarga arwah Aminulrasyid, N.Surendren dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Wong Chin Huat. Moderator forum ini ialah Presiden PKPIM, Mohammad Faisal Abd Aziz. Forum ini dimulakan dengan bacaan puisi berjudul "Jeritan Senja September" oleh sasterawan negara, A. Samad Said.

Kemunasabahan polis tembak sampai mati dipertikai

Bahagian kedua: Semua berpeluang sama jadi mangsa seksaan (tamat)

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Tiada ulasan: