"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MAS: SPRM dipersoal, perlu Suruhanjaya Diraja

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Ogos
: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub hari ini mempersoal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak menyiasat kemungkinan wujud elemen rasuah di peringkat Pejabat Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga Pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Tajuddin Ramli dan konco-konconya tidak didakwa.

Sedangkan katanya, terdapat taklimat dan surat PDRM kepada Perdana Menteri (Tun Abdullah Badawi) yang mencadangkan pendakwaan terhadap mereka dibuat.

"Mengapa tidak disiasat kemungkinan terdapat elemen rasuah diperingkat Pejabat Peguam Negara dan PDRM sehingga tidak ada lansung pendakwaan terhadap Tajudin Ramli dan konco-konconya walaupun terdapat taklimat dan surat PDRM kepada Perdana Menteri (Abdullah Badawi) yang mencadangkan pendakwaan terhadap mereka?" soalnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Salahuddin yang juga Jawatankuasa Khas SPRM, sebelum ini mendedahkan wujud pihak yang melindungi Tajuddin berhubung kes kerugian RM8 bilion Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Selain itu beliau turut mempertikai kewibawaan SPRM yang memaklumkan aduan pihak MAS (berhubung kemungkinan Pejabat Peguam Negara dan PDRM terlibat) kepada PDRM.

PDRM, katanya adalah pihak yang diadu dan tidak sepatutnya mereka dimaklumkan berhubung aduan tersebut.

"Mengapa apabila pihak MAS mengadu kepada SPRM berkenaan perkara diatas, SPRM bertindak memaklumkan aduan tersebut kepada pihak PDRM yang merupakan salah satu daripada sasaran aduan tersebut?" soalnya lagi.

Tindakan SPRM itu jelasnya lagi telah membawa keraguan kepada tahap profesionalisma suruhanjaya itu.

SPRM juga katanya, telah mempraktikkan etika yang tidak beramanah apabila memanjangkan aduan MAS terhadap Peguam Negara dan PDRM kepada PDRM.

"Daripada perkara diatas adalah jelas bahawa SPRM tidak boleh diharapkan dalam misi nasional untuk menghapuskan rasuah.

"Malah kejadian sedih dan malang ini dengan jelas menunjukkan bahawa Akta SPRM harus dirombak semula agar SPRM diletakkan dibawah pengawasan Parlimen secara total dan kuasa pendakwaan diberikan kepada SPRM dalam kes-kes rasuah dan penyalah gunaan kuasa," tambahnya lagi.

Dalam kes ini juga menurutnya, telah secara jelas membuktikan kredibiliti Peguam Negara dan Pejabat Peguam Negara serta PDRM amnya dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial PDRM boleh dipersoal.

Sehubungan itu beliau mendesak agar Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan menyiasat kes tersebut termasuk menyiasat kecurangan SPRM memaklumkan kepada PDRM dan siapa dalang-dalang yang melindungi Tajuddin dan konco-konconya.

Tiada ulasan: