"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jakim: 24 hotel Lembah Klang guna bahan diragui

KUALA LUMPUR, 20 Ogos: Sebanyak 24 buah hotel di Lembah Klang yang menawarkan Bufet Ramadan didapati telah menggunakan bahan yang diragui status halalnya, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz hari ini.

Beliau berkata hasil pemantauan yang dibuat ke atas 34 buah hotel di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang meliputi hotel lima bintang ke bawah sepanjang 10 hari berpuasa mendapati 70 peratus tidak memenuhi keperluan piawaian Pensijilan Halal Malaysia.

“Antara hasil penemuan ialah penggunaan bahan mentah berasaskan alkohol, bahan ramuan yang diragui, bahan mentah yang tiada pengesahan halal, ayam daripada sumber yang tidak jelas dan percampuran di antara bahan mentah halal dengan tidak halal di kawasan penerimaan dan stor penyimpanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Wan Mohamad berkata Jakim akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap hotel sepanjang Ramadan dan mengingatkan pengurusan hotel supaya tidak menyalahgunakan terma Bufet Ramadan yang mengelirukan umat Islam yang berbuka puasa.

Beliau berkata sepanjang 10 Ramadan pertama ini, Jakim telah menerima 16 permohonan persijilan halal dari hotel seluruh negara.

Katanya orang ramai boleh melayari laman web www.halal.gov.my bagi mendapatkan maklumat mengenai premis yang mempunyai sijil halal Jakim.
-Bernama-

Tiada ulasan: