"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Post Mortem Himpunan Jutaan Belia 2012

Amiruddin Ismail 
Rata-rata pihak menyuarakan bantahan dan kebencian dengan sikap bersahaja kerajaan Malaysia menghalal raikan konsert artis-artis K-Pop dan Jepun ke Malaysia sempena Himpunan Jutaan Belia baru-baru ini.

Saya tidak mahu bercakap terlalu panjang. Bukan tampil membuat kenyataan rasmi bantahan wakil Ma’ruf Club. Secara dasarnya, kami pasukan penggerak Amar Ma’ruf Nahi Munkar memang bencikan sikap bersahaja pihak penganjur merelakan budaya hedonisme kurang sihat ini, lebih-lebih lagi apabila memfokuskannya kepada kami anak muda harapan negara.

YA, MEMANG KAMI BANTAH HIMPUNAN BELIA NEGARA!

Tidak dinafikan memang banyak aktiviti yang bermanfaat dalam Himpunan Belia Negara, contohnya pengisian kerohanian, booth-booth kerjaya dan pengajian tinggi, jambori, kolokium, ceramah motivasi, pertandingan-pertandingan nasyid dan tilawah al-Quran. Sempat juga beberapa sahabat saya berkunjung ke sana, mereka kongsikan pengalaman melawat mega karnival. Saya tidak pergi, saya mengambil pendekatan menjauhi perkara yang lebih besar keburukan berbanding kebaikan.

Benarkah keburukan lebih besar berbanding kebaikan?

Mudah sahaja. Anda tanyakan pada diri sendiri. Sejauh mana aktiviti-aktiviti bermanfaat seperti kerohanian dan pendidikan digembar-gemburkan dan menjadi main highlight dalam promosi Himpunan Belia Negara? Berapa banyak peruntukan diberikan untuk tujuan-tujuan tersebut? Apakah relevannya mencampur-adukkan pentas dengan persembahan nasyid pada siangnya, dan persembahan maksiat pada malamnya? Berapa banyak aktiviti pendidikan dan kerohanian yang dikunjungi Perdana Menteri dan diwar-warkan di media?

Saya nak tanya sendiri kepada pihak penganjur. Apa jenis belia yang anda mahu hasilkan manifestasi daripada Himpunan Jutaan Belia tahun ini? Belia sekularkah? Belia harapan negarakah?

Maaf pihak penganjur, kami bukan bermaksud apa-apa. Jujurnya, anda telah merosakkan anak muda. Orang ramai memandang serong kepada anak muda. Kata mereka, “Agaknya tiada masalah kalau anak muda hari ini siangnya diisi dengan motivasi, nasyid dan kerohanian, malamnya diisi dengan maksiat dan persembahan artis separa telanjang. Begini ialah model pemimpin negara akan datang.”

Habis busuk nama Islam! Habis busuk nama anak muda Malaysia! Kononnya Islam agama rasmi Persekutuan. Kononnya Kepercayaan kepada Tuhan, kononnya keluhuran perlembagaan, kononnya kedaulatan undang-undang, kononnya kesopanan dan kesusilaan menjadi intipati Rukunegara yang disanjung-sanjung. Mana perginya keunikan identiti Malaysia yang disanjung-sanjung seluruh dunia hari ini? Habis sepah dibuang dan dicampak-campakkan oleh pemimpin negara Malaysia sendiri!

Ya kami memang marah dan benci! Kami sangat sayangkan kerajaan kami, hanya cuma kami cukup marah dan benci dengan sikap kerajaan yang tidak pernah sayangkan kami.

Saya nak nasihatkan kepada pihak kerajaan yang menganjur, lain kali kalau nak anjurkan Himpunan Belia Negara, bawa-bawalah berbincang dengan kami anak muda. Bawa-bawalah berbincang dengan kami mahasiswa. Kami lebih memahami jiwa anak muda, kami lebih kreatif, kami lebih tahu bagaimana nak corakkan generasi pemimpin negara suatu masa nanti.

Jangan salahkan kami kalau anda ‘hilang kuasa’ di Putrajaya ‘suatu hari’ nanti.

Jangan salahkan kami kalau Tuhan timpakan malapetaka terhadap dosa-dosa anda. Naudzubillahi min zalik.

Kami terus mendoakan...Amin.

Penulis ialah Presiden Ma'ruf Club IIUM

Tiada ulasan: