"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Scorpene: AG boleh ‘selamatkan’ Najib di M’sia, tidak di Perancis

Sidiqin Omar 
KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Peguam badan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang memfailkan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia, Fadiah Nadwa Fikri berkata, perbicaraan tidak dilakukan di negara ini kerana ia bergantung sepenuhnya kepada ‘budi bicara’ Peguam Negara (AG).
“Dakwaan oleh AG boleh terpilih, berdasarkan kepentingan politik Umno BN. Contohnya, kes NFC (Pusat Fidlot Nasional). Suami Shahrizat Jalil disiasat, kemudian didakwa di mahkamah.

“Jadi, sepatutnya dalam kes rasuah Scorpene, Razak Baginda yang disiasat,” kata Fadiah menjelaskan siasatan dibuat terhadap penerima manfaat daripada projek yang didakwa wujudnya penyelewengan.

“Suaram tak boleh dakwa Razak Baginda. Suaram hanya boleh bawa bukti dan lapor. Yang mendakwa Razak Baginda ialah mahkamah. Dakwaan di mahkamah dibuat atas ‘budi bicara’ Peguam Negara,” kata Fadiah yang juga peguam Lawyers for Liberty (LFL).

Beliau menegaskan, kuasa Peguam Negara terlalu luas dan berkepentingan politik kerana dilantik oleh eksekutif iaitu Perdana Menteri.
Fadiah (tengah) bersama Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel di hadapan Mahkamah Perancis.
Fadiah berkata, menurut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara dilantik oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Terserah pada mahkamah (untuk dakwa kes Scorpene). Mereka yang berkuasa dan tentukan kalau saksi perlu tampil. Di Perancis, (kes seperti ini) akan disiasat.

“Di Malaysia, kalau AG ada bukti dan sembunyikan dari dakwaan, itu ‘abuse of power’ (salahguna kuasa). Masalahnya, orang biasa tidak boleh dakwa AG,” katanya.

Dalam pada itu Fadiah memaklumkan, perbicaraan kes ini akan bermula di Perancis sebaik Hakim Penyiasat, Roger Le Roire dan Serge Tounaire memanggil notis inkuiri.

“Perkara utama yang akan diuruskan ialah penyerahan spina,” jelas Fadiah memaklumkan, sesi akan datang melibatkan saksi dari pihak Malaysia.

Suaram adalah organisasi yang bertanggungjawab memfailkan kes terhadap DCNS, syarikat pembuat kapal selam Perancis yang membina dan menjual kapal selam kepada negara dunia ketiga termasuk Malaysia.

Kes itu difailkan kerana DCNS membayar ‘komisen’ lebih daripada RM500 juta kepada Perimekar Sdn Bhd, syarikat yang dimiliki Abdul Razak Baginda, rakan karib kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada 20 April lalu, Pengarah Suaram, Kua Kia Soon; Anggota Sekretariat, Cynthia Gabriel dan Fadiah berhujah di hadapan hakim dalam sesi tiga jam di Perancis.

Najib antara nama dalam senarai yang dicadangkan Suaram kepada hakim di tribunal Grande Instance Paris, berhubung rasuah pembelian Scorpene.

Tiada ulasan: