"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Yakinlah Pakatan Rakyat tidak berpecah

Subky Latif
Gara-gara isu hudud meledak semula seperti yang berlaku awal 1990-an, hampir hendak hancur Pakatan Rakyat oleh bahangnya.

PAS berhajat benar hendak melaksanakannya di Kelantan. Apa jadi pun rang undang-undang persendirian bakal dibentangkan di Parlimen tahun ini juga.

PKR tidak tertarik dengan perkembangan itu. DAP seperti yang diwasiatkan oleh mendiang Karpal Singh tidak akan menyokong usul itu.
PAS mahu juga ia dibentangkan. Maka DAP melalui Setiausaha Organisasinya, Antony Loke cabar PAS keluar PR. PAS tidak mahu keluar PR tetapi hudud hendak dilaksanakan juga di Kelantan.

Macam PR hendak berpecah gara-garanya. Siapa yang seronok? Tentulah Umno dan Barisan Nasional melihat kerabat PR beramok sama sendiri. Seronokkah Umno bila PR macam hendak berpecah.

Seronoknya cuma beberapa hari saja kerana PAS tidak akan keluar Pakatan dan DAP serta PKR tidak akan membiarkan PAS keluar kerana isu itu. Mereka berkelahi saja tetapi tidak pecahkan bahtera yang mereka bina.

Berkelahi tidak elok, tetapi mungkin ada elok juga berkelahi sekali sekala supaya masing-masing lebih kenal budi dan hati antara satu sama lain. Atas perkelahian itulah mereka akan membangunkan muafakat yang lebih kuat.

Awal 1990-an ketika Pilihan Raya Kecil Bukit Payong, Terengganu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad cabar PAS supaya laksanakan hudud di Kelantan setelah Angkatan Perpaduan Ummah menang semua kerusi di Kelantan.

Mungkin cabaran Dr Mahathir hendak menjauhkan bukan Melayu daripada PAS kerana politik Tengku Razaleigh Hamzah melalui Parti S46 boleh jadi jambatan yang boleh mendekatkan PAS dan DAP jika dibiarkan.

PAS sahut cabaran itu lalu meluluskan Enakmen Jenayah Syariah 2 di Kelantan. Bila hendak dilaksana, Dr Mahathir hantar surat kepada kerajaan Kelantan, kalau laksana dia akan bertindak. Mungkin Dr Mahathir menyesal mencabarnya dulu kerana puak pro hudud ini tidak boleh dicabar.

PAS tawakuf pelaksanaan itu. Tetapi hudud itu tidak menghalang DAP bermuafakat dengan PAS melalui Barisan Alternatif. Mereka berpecah sekejap. Tetapi atas perpecahan sekejap itu mereka bangkit dengan perantaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menegakkan Pakatan Rakyat.

Apabila Brunei Darussalam mengumumkan mendaulatkan syariat setahun sebelum Malaysia menguatkuasakan Cukai Barangan dan Perkhidmata (GST), Kelantan tidak mahu ketinggalan dengan hududnya. Umno pula cabar PAS bawa ia ke Parlimen nescaya ia akan mereka sokong. PAS pun terima positif atas cabaran itu.

Puak yang tidak boleh dicabar tentang hudud ini lemparkan cadangan untuk bentangkan ia ke Parlimen.

DAP melenting tetapi buat masa ini DAP bukan musuh PAS dan PAS bukan musuh DAP. Mereka berbalah tetapi mereka tidak berecah.

Sama ada Umno/BN sokong usul PAS itu di Parlimen, Umno adalah musuh yang kekal setakat ini buat semua kerabat Pakatan Rakyat. Umno boleh sokong hudud tetapi Umno tetap musuh PAS. DAP dan PAS mungkin berkelahi sekejap tetapi musuh kedua-duanya ialah Umno.

Baguslah kalau Umno sudah dapat hidayah tentang hudud. Hidayah itu masih teka teki. DAP masih takutkan hudud. PKR tunggu dan lihat.

Takut DAP tentang hudud itu seperti ia takutkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Seolah-olah DEB itu untuk Melayu saja. Tetapi yang banyak untung atas DEB ialah bukan Melayu. Majoriti Melayu dapat kuah. Beberapa kerat Umno dan bukan Melayu dapat isi DEB.

Hudud itu akan menguntungkan bukan Melayu seperti bukan Melayu mengaut keuntungan DEB. Baiknya hudud nanti ia menguntungkan Melayu dan bukan Melayu. Kalau usul PAS itu kalah kita tidak dapat buktikan bukan Islam untung dengannya kerana ia tidak dilaksanakan. Tunggulah untungnya daripada pelaksanaan hukum itu di Bandar Seri Begawan.

Tiada ulasan: