PAS parti terbaik urus negara, Sanusi jawab Saifuddin
Anne Muhammad
Ketua pengarah pilihan raya PAS menegaskan partinya sedia terajui PN dalam menghadapi PRU16 kerana memiliki barisan kepimpinan berpengalaman.
Kenyataan Sanusi Nor menyusul gesaan Saifuddin Abdullah yang PN perlu kemuka pimpinan berkeupayaan mengurus ekonomi ketika negara mungkin bersedia menghadapi PRU16.
PUTRAJAYA: PAS adalah parti terbaik bukan saja untuk Perikatan Nasional malah negara ini, kata Sanusi Nor.
Kenyataan ketua pengarah pilihan raya PAS menyusul gesaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, kelmarin, PN perlu mengemukakan pimpinan berkeupayaan mengurus ekonomi ketika negara mungkin bersedia menghadapi PRU16 susulan tempoh Parlimen yang genap tiga tahun.
Sanusi menegaskan, partinya sedia menerajui PN dalam menghadapi PRU16 kerana memiliki barisan kepimpinan berpengalaman dan berkeupayaan mengurus negara.
Beliau berkata, PAS juga memiliki pemimpin yang menganggotai Jemaah Menteri kerajaan persekutuan sebelum ini selain ramai yang pernah dan sedang memegang jawatan menteri besar serta ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.
“Kita ada ramai teknokrat yang menjadi ahli dan penyokong PAS untuk diketengahkan sebagai pemimpin negara dan negeri. Dari sudut jentera parti dan akar umbi, PAS adalah parti terbaik di negara ini. Bukan saja untuk PN, malah negara ini perlu dipimpin oleh PAS.
“Ramai pegawai tadbir dan kakitangan awam ada kebolehan, hanya perlu kepada teraju yang mampu membuat keputusan yang munasabah,” kata menteri besar Kedah kepada FMT.
Menerusi pentadbiran PN sebelum ini dua pemimpin tertinggi PAS dilantik sebagai menteri iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man (alam sekitar dan air) serta Takiyuddin Hassan (Parlimen dan Undang-undang bawah Jabatan Perdana Menteri).
Sementara itu, ketika ditanya adakah calon pemimpin PN yang ‘berkeupayaan mengurus ekonomi’ perlu datang daripada PAS, Sanusi berkata ‘tidak semestinya’.
“Yang penting daripada orang yang betul-betul ahli, ada kemahiran yang wajar dalam sesuatu bidang. Jangan pakai formula sendiri saja, tak peduli pandangan orang yang benar-benar ahli sesuatu bidang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan