PETALING JAYA: Kerajaan Kemboja mengarahkan kedutaannya di Kuala Lumpur menyiasat keadaan rakyatnya yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen di Juru, Pulau Pinang, susulan dakwaan tahanan di pusat itu diseksa dan dipukul oleh warden, malah ada yang mati, lapor akhbar Cambodia Daily.
Dua wanita Cambodia yang dihantar pulang pada Jun lalu hasil usaha pertubuhan hak asasi Central menceritakan bagaimana dia ditendang dan dipukul oleh warden di pusat tahanan itu kerana tidak memahami pegawai penjara.
Katanya, mereka diseksa kerana tidak boleh bertutur Bahasa Melayu. Tambahnya, beliau bernasib baik berbanding tahanan lain.
“Yang lain, seperti tahanan Vietnam, Thailand, Indonesia dan Laos, disiksa teruk,” katanya dipetik Cambodia Daily.
“Mereka ditolak dan kepala mereka ditekan ke atas dinding. Seorang pegawai bernama Ma Pon selalu menumbuk dan menendang kami,” katanya.
Tambahnya, sepanjang tinggal di situ, dia menyaksikan sendiri 5 warga Cambodia dan dua warga Vietnam meninggal dunia, tiga daripadanya wanita yang tinggal bersamanya.
“Mereka bertiga diseksa teruk dan saya menemui mereka mati keesokan paginya kerana kami tidur di blok sama,” katanya.
FMT sedang berusaha mendapatkan reaksi Jabatan Imigresen.
Cambodia Daily juga memetik wanita itu berkata, dia pernah diminta menjadi penterjemah semasa menemani tahanan lain mendapatkan rawatan di hospital, di mana dia melihat empat lagi wanita – tiga warga Cambodia dan seorang warga Vietnam – meninggal dunia.
Wanita yang mendedahkan insiden itu antara dua wanita yang pulang ke Cambodia.
Menurut aktivis Dy Thehoya dari pertubuhan Central, seorang lagi wanita bersamanya terus menghilangkan diri setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada pertengahan Jun lalu.
Bagaimanapun, dia sempat memberitahu yang dia ditahan di Juru selepas melarikan diri dari majikan yang menyeksanya, di samping mengesahkan dakwaan kekerasan warden di Juru.
Thehoya berkata pihaknya berusaha membebaskan kedua-dua wanita itu selepas diberitahu pegawai Kedutaan Kemboja di Kuala Lumpur, Bunthel Thuok.
Awal Jun, Malaysia bersetuju membenarkan lebih ramai warga Kemboja bekerja sebagai pembantu rumah, selepas pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Sen.
Disember tahun lepas, Malaysia dan Kemboja menandatangani memorandum persefahaman (MoU) menyambung penghantaran pembantu rumah ke Malaysia, 5 tahun selepas dibekukan Hun Sen susulan dakwaan rakyatnya diseksa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan