"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Saya dimusuhi PAS sejak dulu'

Selepas beberapa dekad Tun Dr Mahathir Mohamad berubah angin. Daripada sekuat-kuat penyokong kerajaan kini beliau menjadi sekuat-kuat penentangnya.

Pada masa sama PAS menampakkan komitmen mereka untuk menjadi seteru kepada bekas perdana menteri itu. Pedulilah sama ada Dr Mahathir dalam kerajaan atau luar, PAS melihat beliau bukan individu yang boleh dijadikan rakan sekutu.

Dr Mahathir sepertinya lawan nombor wahid untuk PAS hari ini.

"Yalah, saya ni dari dulu pun memang musuh utama dia (PAS). Mereka cakap saya buat benda-benda yang bertentangan dengan Islam.

"Tetapi apabila saya (suruh) tunjuk kenapa bertentangan dengan Islam, dia tak dapat jawab. Sekarang pun dia tak dapat jawab," katanya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu ditemui wartawan Malaysiakini dalam temu bual eksklusif di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya Rabu lalu.

Selain mempunyai jawatan penting dalam BERSATU Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu juga dilantik menjadi pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menggabungkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

BERSATU menjadi anggota paling bongsu dalam gagasan berkenaan.

BERSATU pernah cuba menjadi penghubung untuk memujuk PAS menyertai PAKATAN namun gagal. Ketika ada sebahagian pemimpin PKR meneruskan usaha berkenaan - di sebalik pelbagai tempelakan dan sindiran pemimpin PAS - Dr Mahathir kekal menjadi satu daripada seteru parti berkenaan.

Ia berkait dengan sejarah silam ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri dulu.

Kerana Amanat Haji Hadi

Kata Dr Mahathir sebelum ini PAS menganggap Umno 'kafir' kerana boleh bekerjasama dengan orang bukan Islam namun mereka kemudian menjalin persefahaman dengan DAP - sebuah parti pelbagai kaum di atas kertas namun didominasi masyarakat Cina.

"Dia kafirlah (sebab bekerjasama dengan DAP). Lepas tu dia Islam balik (kerana memutuskan hubungan dengan DAP), lepas tu dia kafir balik. Sekarang ni nak Islam balik," katanya.

Sikap itu kata Dr Mahathir berlaku disebabkan PAS mentafsir Islam "mengikut kepentingan politik" parti berkenaan.

Justeru kata Dr Mahathir PAS memusuhinya kerana menganggap parti berkenaan tidak beramal dengan ajaran sebenar Islam.

"Kalau PAS guna Islam dengan cara yang betul, OK-lah. tapi bila kata saya ni kafir, apa hak dia nak kata saya kafir? Dalam al-Quran dilarang, tak boleh mangkafirkan orang Islam melainkan saya ni sembah berhala (atau perbuatan seumpamannya).

"Saya mengucap macam orang Islam lain. Kita mungkin kurang beramal sedikit di sana sini, berdosa banyak, tapi masih Islam, tak boleh kata kafir.

"Tapi PAS mengkafirkan orang sehingga sanggup mengkafirkan ibu bapa, sanggup hingga cuba bunuh orang bukan Islam. Itulah yang berlaku di Memali.

"Memali berlaku kerana ajaran dari Amanat Haji Hadi yang berkata bahawa kalau mereka mati cuba nak menjatuhkan kerajaan kafir ini, mereka mati syahid," katanya.

Dalam keadaan begitu, tidak nampak ada jalan mudah untuk PAS dan Dr Mahathir boleh berlembut bagi mencari titik tengah ketika pilihan raya umum (PRU) ke-14 semakin hampir.

Ramai tak suka PAS

Sebahagian penganalisis membaca perkembangan berkenaan akan menguntungkan HARAPAN, terutama apabila kemungkinan pertandingan lebih dua penjuru hampir pasti berlaku di kebanyakan kerusi.

Namun Dr Mahathir tetap optimis.

"Saya tidak fikir PAS akan perform dengan baik.

"Di pantai barat, PAS menang (semasa PRU ke-12 dan 13) kerana sokongan daripada DAP dan orang India, juga Melayu PKR.

"Di pantai timur pula, mungkin PAS dapat sokongan banyak (daripada orang Melayu) tetapi sekarang ini PAS sudah pecah dua dengan adanya AMANAH.

Walaupun ia parti baru, mungkin tidak begitu popular, tapi kita lihat ramai orang yang tak suka kepada pas.

"Dan pada mereka, kalau parti AMANAH bertanding mewakili HARAPAN, ramai akan HARAPAN," katanya.

Dengan andaian majoriti pengundi bukan Melayu tidak lagi memberi undi kepada PAS - terutama di pantai barat - mereka dilihat bakal menjadi parti paling rugi pada PRU ke-14 nanti.

"Mungkin ada tempat-tempat tertentu PAS akan hilang deposit," kata Dr Mahathir.

Diminta menjelaskan bacaan sifir politiknya Dr Mahathir berkata ketika ini perpecahan undi (sokongan) kepada pembangkang hanya berlaku di kalangan orang Melayu.

"Undi Cina tak berpecah, boleh dikatakan 100 peratus atau sekurang-kurangnya 80 peratus sokong DAP dan HARAPAN.

"Apabila HARAPAN berdepan cabaran tiga penjuru antara BN dan PAS, mungkin BN dapat sokongan yang banyak juga daripada pengundi Melayu, tapi HARAPAN juga akan dapat (sebahagian) undi Melayu.

"Undi PAS akan berkurangan kerana sokongan orang Melayu pun akan kurang. Orang Cina dan India juga tidak akan bagi, jadi di pantai barat sokongan untuk mereka akan berkurangan.

"Jadi, dalam pertembungan tiga penjuru undi PAS yang akan di bawah sekali. Kalau orang Cina, India dan sebahagian Melayu beri bagi undi kepada HARAPAN, maka HARAPAN yang akan mengatasi BN," katanya.

Sementara itu diminta mengulas kenyataan dibuatnya dalam blog sebelum ini, Dr Mahathir berkata ada syarat yang sangat sukar diterima BERSATU ditetapkan PAS sebelum kedua-dua parti boleh bekerjasama.

Kata Dr Mahathir, PAS mahu mereka membentuk pakatan yang berbeza daripada HARAPAN.

"PAS suruh kami buat pakatan dengan mereka saja, tetapi BERSATU sudah ada pakatan dengan tiga parti lain. Kita tak bolehlah tolak parti rakan kita.

"Di satu tempat HARAPAN bertanding kita (BERSATU) kena sokong PAS dan di tempat lain HARAPAN tak mengapa tak sokong PAS (kerana PAS tidak meletakkan calon).

"Macam mana nak buat? Itu ta bolehlah. BERSATU tak boleh ada dua gabungan yang berbeza.

"Di satu kerusi PAS nak ada satu lawan satu, tetapi di kawasan lain pula PAS mahu ada tiga penjuru. Jadi ia memang tak boleh dilakukan," katanya.

Mereka mahu kami buang DAP, AMANAH baru nak sertai pakatan dengan PKR. Kita tak boleh buat macam tu," katanya.

Tiada ulasan: