"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa Amanah gagal tarik pengundi Melayu luar bandar

Sheith Khidhir Bin Abu Bakar 
Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, Amanah lebih kuat daripada PAS di kawasan penduduk berbilang kaum, tetapi bukannya di kawasan luar bandar bermajoriti Melayu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Kegagalan Pakatan Harapan (PH) mengalahkan PAS di kubu kuat parti Islam itu dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu menunjukkan aliran politik Islam Amanah gagal menarik pengundi Melayu luar bandar, kata seorang pensyarah sains politik.

Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid, pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) memberitahu FMT, beliau percaya sukar bagi Amanah menembusi kawasan majoriti Melayu kerana mesejnya tidak menepati konteks di mana Islam dianggap agama orang Melayu semata-mata.

Beliau berkata, agenda Amanah ialah mempersembahkan Islam seperti yang digambarkan al-Quran – “rahmat kepada manusia”.

“Namun, selagi kemelayuan dan Islam terikat satu sama lain, Amanah perlu mencari cara lain untuk menembusi kawasan orang Melayu.”

Beliau mengakui Amanah lebih kuat daripada PAS di kawasan penduduk berbilang kaum dan kelas pertengahan Melayu, tetapi beliau mempersoalkan jika ia menepati peranan sebenarnya sebagai sebuah parti komponen PH.

Untuk kekal relevan sebagai sebuah parti politik Islam di Malaysia, katanya, Amanah tiada pilihan kecuali memperluaskan pengaruhnya ke kawasan orang Melayu di luar bandar.

“Di negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, PAS lebih berjaya berbanding semua parti komponen PH.

“Amanah tiada tarikan di kawasan dikuasai orang Melayu.”

Bagaimanapun, katanya, Amanah tidak tewas sepenuhnya.

“Ia boleh berfungsi secara beransur-ansur di peringkat akar umbi melalui pemimpin seperti Datuk Husam Musa dan Nik Omar Nik Abdul Aziz.”

Tiada ulasan: