"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

GLC sarang pencuri, jual semuanya, kata penulis AS

FMT Reporters

Bakri Musa berkata 1MDB hanya satu gejala bagi masalah yang lebih mendalam. (Gambar youtube)
PETALING JAYA: Menyifatkan pendedahan pasca pilihan raya mengenai skandal 1MDB sebagai petunjuk kepada masalah lebih besar, pengkritik mengenai Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Dr M Bakri Musa menggesa kerajaan baharu melangkah lebih jauh dengan menghapuskan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pakar bedah yang tinggal di California itu berkata skandal 1MDB hanyalah gejala kepada “masalah yang lebih besar”.

Beliau membandingkan amalan salah GLC yang menjual aset kepada yang lain dengan harga yang semakin tinggi sebagai “helah yang digunakan bank yang tidak beretika di Iceland” yang membawa kepada kemusnahan ekonomi negara itu pada 2008.

“Semua kerja yang nampak rasmi dan teratur itu dengan komisen dan yuran profesional yang mahal hanyalah skim untuk mencuri aset GLC tersebut,” katanya.

Bakri menerusi bukunya, “Liberating the Malay Mind” menawarkan analisis radikal mengenai orang Melayu di bawah Barisan Nasional, berkata GLC mempunyai pengaruh negatif terhadap Bumiputera muda kerana bakat mereka “disia-siakan” oleh syarikat itu dengan “cara bekerja yang buruk”.

“Tanpa GLC, mereka boleh memulakan perusahaan sendiri dan menjadi Bill Gates atau Jeff Bezos tempatan, atau menyerlah di cawangan IBM dan Morgan Stanley tempatan.

“Bakri berkata, GLC juga “bukanlah skim yang berperanan merosakkan pegawai tertinggi kerajaan yang tersembunyi, tetapi berkesan.”

“Jika anda bersikap terlalu kritikal terhadap orang politik atasan, maka anda akan membahayakan peluang menguntungkan selepas persaraan untuk dilantik sebagai pengerusi Petronas, misalnya.

“Hakikat bahawa daripada 4 Tan Sri yang ‘bersara’ kerana dikaitkan dengan siasatan awal 1MDB, hanya bekas ketua polis negara Tan Sri Khalid (Abu Bakar) yang diketahui dilantik ke jawatan pengerusi GLC. Para birokrat itu faham maksud yg tersirat,” katanya.

Bakri berkata menjual GLC adalah penyelesaian yang mudah dan murah kepada “kecamuk GLC Malaysia” bagi menghalang berlakunya bencana masa depan seperti skandal 1MDB.

“Jual semuanya! Letakkan hasilnya dalam dana amanah untuk memberi manfaat kepada Bumiputera.

“Gabungan model Norway dan Alberta yang pelbagai. Seperti Norway, sebagai individu anda boleh menjadi pelabur pasif dalam tabung amanah. Separuh daripada pendapatan itu dilaburkan semula dalam dana tersebut dan separuh lagi dibelanjakan seperti dilakukan Alberta Heritage Fund untuk meningkatkan kualiti modal insan Bumiputera.”

Beliau berkata ini termasuklah melengkapkan pendidikan Bumiputera dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM); dan berperanan sebagai sumber modal teroka untuk mengembangkan usahawan Bumiputera; dan memodenkan sektor luar bandar melalui mekanisasi ladang dan kampung.

“Malaysia tidak sepatutnya berpuas hati dengan langkah semasa yang hanya menghukum individu yang korup dan tidak cekap dalam 1MDB dan GLC lain.

“Hilangkan punca masalah. Hapuskan GLC. Jual semuanya!” kata beliau.

Tiada ulasan: