"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Orang muda bakal bersara dalam keadaan ‘terseksa’, kata pakar

Nur Hasliza

PETALING JAYA: Sekiranya golongan muda tidak mengurus perbelanjaan dengan bijak, mereka akan berdepan risiko bersara dalam keadaan “terseksa”, kata pakar kewangan.

Perunding kewangan kanan di Infaq Consultancy Sdn Bhd, Afyan Mat Rawi berkata, jika diteruskan, tabiat itu akan memberikan kesan buruk kepada generasi muda di negara ini.

“Hendak bersara tetapi wang tidak cukup dan hutang masih tinggi. Mahu bekerja pula, sudah tiada kudrat. Habis tu, macam mana?” katanya ketika ditemui FMT.

Afyan berkata, golongan muda perlu tahu pembahagian belanjawan peribadi dan peruntukan di bawah bahagian tersebut.

Katanya, terdapat 5 pembahagian di bawah perbelanjaan individu iaitu perbelanjaan isi rumah, pembayaran hutang, lebihan, pemberian dan lain-lain perkara.

“Perbelanjaan isi rumah seperti sewa rumah, tambang, petrol, peruntukan untuk makan dan minum.

“Pembayaran hutang pula seperti hutang rumah, kereta, pinjaman peribadi dan pinjaman pendidikan. Kedua-dua pembahagian ini (perbelanjaan isi rumah dan hutang) boleh digabungkan,” katanya.

Namun, katanya, jumlah gabungan itu tidak boleh melebihi 60% kerana 30% lebihan akan terjejas.

“Lebihan adalah 10% untuk wang simpanan, 10% pelindungan iaitu takaful dan insurans serta 10% lagi pelaburan. Jika gabungan tadi melebihi 60%, salah satu pembahagian di bawah lebihan akan terjejas dan berkurang peratusannya,” kata Afyan.

Apabila ditanya, apakah kemelut lain yang melanda golongan itu selepas pengurusan wang yang tidak baik, katanya, hasil pemerhatian mendapati bilangan golongan muda muflis semakin bertambah.

“Golongan yang muflis dan bankrup di bawah usia 30 tahun adalah tinggi,” katanya.

Sebelum ini, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dilaporkan berkata, golongan berusia antara 35 hingga 44 tahun paling ramai terbabit dalam kebankrapan iaitu 34.4%.

Tambah Afyan, perkara itu tidak menghairankan kerana sikap golongan muda yang gemar berbelanja melebihi dari kemampuan dan terlalu memenuhi gaya hidup.

“Mereka lebih rela keluarkan duit untuk beli telefon pintar yang mahal, aksesori yang berjenama dan makan di restoran mewah dan mengikut trend semasa, selepas itu, tayang ke media sosial,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak semua golongan muda mempunyai sikap sedemikian, tetapi bilangan mereka yang cakna dengan pengurusan wang masih rendah.

Sementara itu, FMT meninjau tabiat golongan muda berbelanja di salah sebuah pusat membeli belah di Putrajaya.

Seorang graduan kejuruteraan yang kini menjadi pemandu perkhidmatan e-hailing sepenuh masa, berkata beliau menghabiskan lebih RM1,000 hanya untuk membayar ansurans kereta dan penyelenggaraannya.

“Kereta 900 sebulan, termasuk petrol, tol dan upah cuci kereta, lebih kurang RM1,000 digunakan setiap bulan,” katanya yang mahu dikenali sebagai Mikhail.

Apabila ditanya, adakah beliau berdepan kesukaran dengan komitmen tersebut, beliau menafikannya.

“Sekarang mampu, sebab masih belum ada keluarga. Tidak perlu fikir tentang belanja anak dan isteri,” katanya.

Berbeza pula dengan perbelanjaan guru sekolah menengah yang mendisiplinkan diri dengan menyimpan sebanyak 30% daripada gajinya sebulan.

“Saya tidak akan usik 30% daripada gaji itu. Saya akan simpan untuk kegunaan kecemasan atau simpanan peribadi saya. Mungkin duit itu boleh digunakan untuk membayar deposit kereta atau rumah, jika saya mahu membelinya suatu hari nanti,” kata wanita yang mahu dikenali sebagai Anna.

Tiada ulasan: