"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hati-hati sabotaj pegawai kerajaan, kata Wan Ji

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin hari ini meminta kerajaan PH agar berhati-hati dengan kemungkinan berlaku sabotaj selepas dia diminta memberi keterangan berhubung ceramahnya di Melaka bulan lalu.

Menjelaskan kenyataan itu Wan Ji berkata pagi tadi dia dihubungi pegawai kanan di bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

Katanya, selepas selesai memberikan keterangan, pegawai terbabit memintanya ke mahkamah syariah untuk proses pendakwaan.

Wan Ji yang selama ini bersuara lantang mengkritik pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan yang cenderung kepada pembangkang menambah, pegawai terbabit sebenarnya akan meninggalkan perkhidmatannya di Jaim hujung bulan ini.

Katanya, kontrak pegawai kanan itu - yang didakwanya mempunyai hubungan baik dengan PAS dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) - tidak lagi disambung oleh kerajaan negeri.

“Perkara itu saya maklumkan kepada Pejabat Ketua Menteri Melaka," katanya yang mendakwa mereka terkejut dengan apa yang dilakukan pegawai kanan Jaim berkenaan.

Bagaimanapun menurut Wan Ji pejabat Ketua Menteri Melaka membantu menguruskan hal itu "sehingga selesai".

Terdahulu portal FMT hari ini melaporkan Wan Ji ditahan pagi tadi oleh pihak berkuasa Jaim bagi membantu siasatan kes memberi ceramah tanpa tauliah di Bukit Beruang pada 14 Julai lepas.

Kata Wan Ji ceramahnya sebelum ini sudah mendapat keizinan daripada Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang juga pengerusi Majlis Agama Islam Melaka.

Hal sama juga, katanya, diberikan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Sofi Wahab.

"Saya berpendapat pihak kerajaan PH di semua negeri dan persekutuan perlu lebih berhati-hati dengan mana-mana pegawai kerajaan yang cuba mensabotaj," katanya.

Sementara itu, malam ini Wan Ji meneruskan kuliahnya di Melaka dan ia turut disiarkan secara langsung di Facebooknya.

Tiada ulasan: