"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zakir Naik sahkan didatangi wakil PM India tawar gugur tuduhan

FMT Reporters
PETALING JAYA:
Dr Zakir Naik mengesahkan kerajaan India berjanji tidak akan menahannya dan menggugurkan pendakwaan terhadapnya sebagai pertukaran untuk beliau menyokong tindakan ketenteraan Perdana Menteri Narendra Modi di Kashmir.

Katanya, beliau menemui seorang wakil kerajaan India pada September tahun lalu yang “diarahkan secara langsung” oleh Modi dan Menteri Dalam Negeri, Amit Shah.

“Beliau kata mahu membuang salah tanggapan dan komunikasi antara saya dan kerajaan India serta menawarkan laluan selamat ke India kepada saya.

“Bayangkan kerajaan BJP sama yang menghantui saya selama 3 setengah tahun lalu; orang sama, perdana menteri India yang menggunakan nama saya tidak kurang 9 kali dalam tempoh kurang 2 minit dalam ucapan pilihan rayanya pada Mei 2019.

“Sekarang mereka menawarkan laluan selamat kepada saya? Ia terlalu sukar untuk dipercayai.”

Naik berkata, beliau tidak dapat menyokong tindakan tidak adil kerana membatalkan Perkara 370 yang memberi status khas kepada Jammu dan Kashmir, tidak berperlembagaan dan satu pengkhianatan terhadap penduduk Kashmir.

Katanya, wakil perdana menteri itu memberi amaran kepadanya supaya tidak bercakap mengenai Modi walaupun beliau dibenarkan berbuat demikian terhadap pelbagai agensi kerajaan.

“Saya beritahunya mereka tidak patut dipersalahkan, mereka hanya mengikut arahan bos politik mereka dan terpaksa melakukan apa yang mereka sedang lakukan.

“Dan saya di sini bukan untuk menentang mana-mana kerajaan, saya seorang da’i yang membawa mesej Islam. Selagi mereka tidak melakukan ketidakadilan kepada manusia dan umat Islam, mengapa saya perlu menentang mereka?”

Beliau juga menasihatkan pemimpin Islam di India bersuara untuk membantah ketidakadilan kerana menyokong sebarang perbuatan tidak adil adalah “tidak Islam”.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan pemimpin Islam di India yang secara terbuka menyokong kerajaan BJP membatalkan Perkara 370 kerana ia jelas ada yang diugut dan ditekan untuk berbuat demikian.

“Sekiranya anda takut dengan tindakan balas, sekurang-kurangnya anda boleh mendiamkan diri. Anda menukarkan kerusi anda di syurga demi keselamatan anda di dunia. Bukankah Allah mencukupi untuk hamba-Nya?”

Semalam, ahli akademik Islam Pakistan-Amerika, Yasir Qadhi mendakwa New Delhi menawarkan pertuduhan pengubahan wang ke atas Naik digugurkan jika beliau menyokong tindakan ketenteraan di Kashmir.

Katanya, BJP menghantar wakil untuk menemui Naik dengan tawaran itu dan ia menunjukkan kerajaan India tiada kes sebenar terhadapnya.

Selain menarik balik pertuduhan di India, Naik juga ditawarkan asetnya yang dirampas dikembalikan dan dibenarkan pulang ke negara itu.

Naik dikehendaki di India untuk pertuduhan pengubahan wang.

Direktorat Penguatkuasaan India mendakwa beliau memiliki aset jenayah berjumlah kira-kira Rs1.9 bilion (RM114.5 juta) dan mahu beliau diisytiharkan pesalah ekonomi buruan.

Naik yang juga pemastautin tetap di Malaysia menafikan dakwaan itu dengan berkata, ia sebahagian cubaan kerajaan India untuk menutup mulutnya.

Katanya, beliau bersedia kembali ke India bagi menghadapi pendakwaan di mahkamah negara itu dengan syarat beliau tidak ditangkap sehingga didapati bersalah.

Sehingga kini, Putrajaya menolak permintaan New Delhi untuk mengekstradisi Naik dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Naik tidak akan mendapat perbicaraan adil di bawah pentadbiran Modi.

Tiada ulasan: