FMT Reporters
Lima warga tempatan berumur 18 hingga 47 tahun itu direman 4 hari hingga Rabu ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Tangkap layar rakaman pergaduhan membabitkan sekumpulan individu dekat Flat Seri Perantau di Pelabuhan Klang yang tersebar di media sosial.
PETALING JAYA: Lima lelaki tempatan direman empat hari bagi membantu siasatan pergaduhan berhampiran Flat Seri Perantau di Pelabuhan Klang yang tular di media sosial.
Ketua Polis Klang Selatan, Lim Jit Huey, berkata lima warga tempatan berumur 18 hingga 47 tahun ditahan selepas pihaknya menerima laporan kira-kira 4 petang semalam susulan rakaman pergaduhan membabitkan sekumpulan individu tersebar di media sosial.
Menurutnya, Mahkamah Majistret Klang membenarkan permohonan reman ke atas semua suspek bermula hari ini hingga 3 Jun bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan proses siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta ke IPD Klang Selatan atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan