"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat tengah susah

MALAYSIA DATELINE
Mahu nafi sedang tenat tetapi mungkin tanpa disedarinya pecahkan tembelang diri sendiri. Itu yang dilihat berlaku pada Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Jelebu itu dilapor Bernama memberitahu beliau berada di Kuala Lumpur pagi semalam dan selesai bermain golf pada tengah hari.

Reaksinya itu sebagai menjawab laporan berita sebuah akhbar berbahasa Tamil yang mendakwa Pengerusi UDA Holdings Bhd (UDA) tersebut sedang tenat.

“Saya sekarang berada di Jelebu, pagi tadi (semalam) saya berada di Kuala Lumpur dan selesai bermain golf tengah hari tadi, saya terima banyak panggilan telefon dan WhatsApp daripada kawan-kawan bertanyakan tentang keadaan saya dan saya kata saya okey, sihat, Alhamdulillah.

“Dalam masa sama, ada juga yang kongsikan berita daripada akhbar tersebut yang melaporkan saya kini sedang tenat. Jadi, apa yang dilaporkan akhbar tersebut memang tidak betul,” dipetik Bernama.

Jalaluddin yang sebelum ini pernah berjawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (Pengerusi Bertindak Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan) telah dilantik oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sebagai Pengerusi UDA Holdings Bhd (UDA) berkuatkuasa 13 Mei lalu.

Pendedahan Jalaluddin yang bermain golf itu sekali gus dilihat bercanggah dengan realiti sebahagian besar rakyat negara ini hidup susah dan terjejas sumber pendapatan ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kesan wabak Covid-19.

Pergerakan Jalaluddin ulang-alik dari Jelebu, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur sejauh kira-kira 85 kilometer juga dilihat telah mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melarang rentas negeri.

Ketika Jalaluddin bermain golf di ibu negara, ramai rakyat Malaysia terutama bekerja sendiri dan di sektor swasta putus sumber pendapatan akibat larangan operasi perniagaan, diberhentikan atau dipotong gaji.

Ketika Jalaluddin menikmati gaji dan elaun sebagai Ahli Parlimen melebihi RM16,000 sebulan, kelompok rakyat 40 peratus terbawah (B40) bahkan 40 peratus pertengahan (M40) telah dan sedang terpukul dengan kejatuhan ekonomi.

Untuk rekod, isi rumah B40 adalah mereka yang berpendapatan di bawah RM4,360 sebulan, M40 dengan pendapatan isi rumah bulanan antara RM4,360 dan RM9,619 manakala isi rumah T20 memperoleh lebih daripada RM9,619 sebulan.

Mengikut kertas statut yang disiarkan di laman web Parlimen, seorang Ahli Parlimen menikmati sekurang-kurangnya 14 jenis elaun.

Selain gaji RM16,000 sebulan, ahli Dewan Rakyat menikmati pelbagai elaun lain iaitu:

1. Menghadiri sidang Parlimen – RM400 sehari
2. Menghadiri mesyuarat atau bengkel agensi kerajaan – RM300 sehari
3. Elaun keraian – RM2,500 sebulan
4. Bayaran khas – RM1,500 sebulan (kecuali jika MP adalah ahli pentadbiran)
5. Penerbangan kelas perniagaan dan perjalanan kereta api kelas pertama
6. Elaun hotel semasa di luar negara – bilik standard
7. Elaun hotel apabila bekerja luar kawasan dalam negeri lebih daripada 32 km dari rumah – tidak lebih daripada RM400 semalam
8. Jika tidak menetap di hotel, lojing harian semasa bekerja luar kawasan – RM100 malam (domestik), RM170 malam (antarabangsa)
9. Elaun makanan di luar negara – RM340 malam
10. Elaun perjalanan tetap – RM1,500 sebulan
11. Elaun bahan api – RM1,500 sebulan
12. Elaun tol – RM300 sebulan
13. Elaun pemandu – RM1,500 sebulan
14. Bantuan pakaian majlis ‘black tie’ – RM1,500.

Tiada ulasan: