"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Shahruddin letak jawatan timbalan menteri kerja raya, mahu perbetul ‘kesilapan’

FMT Reporters

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai timbalan menteri kerja raya secara mengejut berkuat kuasa hari ini.

Shahruddin dalam kenyataan berkata, beliau membuat “ijtihad politik” yang kurang tepat ketika menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya beliau seharusnya memberi keutamaan kepada pengundi di kawasan Parlimennya.

“Saya seharusnya meletakan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi di Parlimen Sri Gading sudah memilih Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14.

“Sebagai langkah awal bagi membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Isnin lepas Shahruddin menyuarakan harapan supaya Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad berdamai bagi menguatkan semula PPBM.

Ketika dihubungi FMT, Shahruddin, yang merupakan bekas setiausaha agung pertama PPBM, mengesahkan keputusan itu.

Shahruddin sebelum ini dilaporkan berkata, beliau bersedia melepaskan jawatan sebagai timbalan menteri kerja raya dan meninggalkan PN jika langkah itu dapat mengukuhkan PPBM.

Katanya, beliau menyayangi parti dan tidak mahu melihat PPBM lemah kerana berpecah-belah serta berlakunya serang menyerang yang memalukan.

Pada 9 Mac, Shahruddin dilantik sebagai timbalan menteri kerja raya.

Beliau merupakan bekas timbalan menteri Wilayah Persekutuan dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Tiada ulasan: