"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jakarta lenyap 2050?

Agensi

Jakarta: Ibu negara Indonesia yang menjadi satu daripada kota raya paling ramai penduduk di dunia kini beransur-ansur tenggelam dan dikatakan bakal lenyap.

Pakar di Institut Teknologi Bandung menjelaskan, lebih 95 peratus Jakarta Utara akan tenggelam menjelang 2050, lapor India Times.

Tanah di Jakarta Utara merosot pada kadar antara satu sentimeter (sm) hingga 15 sm setiap tahun, menurut laporan media, dan hampir separuh daripadanya kini berada di bawah paras laut.

Kawasan tanah di situ sudah merosot 2.5 meter dalam tempoh 10 tahun dan ia tenggelam pada kadar sehingga 25 sentimeter setiap tahun di beberapa kawasan.

Angka itu lebih dua kali ganda purata global untuk bandar mega di kawasan pantai.

Bukan sahaja utara, kawasan lain di Jakarta turut tenggelam, walaupun pada kadar sederhana.

Menurut laporan itu, penurunan tanah di Jakarta Barat sebanyak 15 sm setiap tahun, Jakarta Timur (10 sm), Jakarta Pusat (dua sm), Jakarta Selatan (satu sm).

Menurut pakar, perubahan iklim dijangka meningkatkan risikonya kadar tenggelam itu menjadi dua kali ganda, atau mungkin lebih.

Perubahan iklim sudah mencairkan tiga zon glasier di bumi iaitu Antartika di kawasan kutub selatan, Greenland di kutub utara dan banjaran gunung di utara.

Akibatnya, paras laut semakin meningkat dan sebaran air laut terus meluas, meletakkan habitat komuniti di kawasan berhampiran pantai berisiko tenggelam.

Isu kenaikan paras air laut diburukkan lagi oleh lonjakan kuat, taufan dan ombak yang disebabkan oleh perubahan iklim.

Tambahan pula, Jakarta kerap dilanda banjir akibat hujan lebat.

Ia dianggap sebagai metropolis yang paling cepat tenggelam di dunia, dengan satu pertiga daripada bandar raya itu dijangka ditenggelami air menjelang 2050, jika trend semasa berterusan.

Hal ini diburukkan dengan penerokaan untuk sumber air bawah tanah yang tidak terkawal.

Punca utama Jakarta bakal tenggelam juga disebabkan isu pengagihan bekalan air bersih yang tidak mencukupi untuk majoriti penduduk.

Bandar raya ini sebenarnya tidak kekurangan air tawar, ia menerima 300 hari taburan hujan setahun dan mempunyai 13 sungai yang mengalir melaluinya.

Isunya ialah sumber air tawar yang tidak diselenggara dengan lestari memandangkan kawasan yang dahulunya paya dengan pokok bakau sudah diteroka untuk projek pembangunan.

Ia semata-mata untuk memberi laluan kepada pusat beli-belah, pejabat dan bangunan pangsapuri.

Kawasan berpaya di Jakarta sudah ditukar kepada hutan konkrit dengan kadar 97 peratus.

Ini menjadikan ramai terdesak mencari punca air bawah tanah kerana bekalan air paip tidak boleh dipercayai, tidak teratur dan mahal.

Mereka menjadikan telaga pam dengan paip yang pergi jauh ke dalam bumi merentasi lapisan berliang batuan bawah permukaan yang menyimpan air bawah tanah untuk mendapatkan sumber air itu.

Penggunaan air bawah tanah yang berlebihan menyebabkan tanah di atasnya jatuh, mengakibatkan penurunan tanah, fenomena di mana batu dan kelodak berlonggok di atas satu sama lain.

-hmetro 

Tiada ulasan: