"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR buat laporan SPRM terhadap Latiff

FMT Reporters

PETALING JAYA: PKR akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Latiff Ahmad yang didakwa terlibat dalam isu skandal kapal tempur pesisir (LCS), esok.

Pengerusi Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, laporan tersebut akan dibuat di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Nama Ahli Parlimen Mersing itu dinyatakan terkait menerusi Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen dan juga Laporan Pengauditan Forensik baru-baru ini.

“Justeru, laporan SPRM yang akan dibuat itu tertumpu kepada kesalahan-kesalahan rasuah berdasarkan Seksyen 16, Seksyen 17(a), Seksyen 17(b), Seksyen 18 serta Seksyen 23 di bawah Akta SPRM 2009 yang membolehkan suruhanjaya berkenaan menjalankan siasatan.” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, laporan itu untuk mendesak supaya SPRM mendedahkan pengiystiharan harta yang dibuat oleh Latiff sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai menteri.

“Apa yang akan terjadi seterusnya jika kita tidak melawan penyelewengan skandal LCS?

“Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sendiri tawarkan kepada menteri Perikatan Nasional (PN) tersebut untuk saman beliau, namun sehingga kini masih mengelak. Adakah skandal LCS akan berlalu begitu sahaja tanpa ada jerung yang dapat ditangkap?” soalnya.

Tambahnya, beliau akan memastikan kes itu disiasat sepenuhnya bagi membongkar hal sebenar yang berlaku di sebalik isu kapal LCS tersebut.

“Satu sidang media akan diadakan di hadapan ibu pejabat SPRM pada jam 11 pagi esok selepas laporan itu dibuat.” katanya.

Selasa lalu, pegawai Latiff membuat laporan polis terhadap Rafizi yang disifatkan fitnah bertujuan merosakkan nama baik Ahli Parlimen Mersing itu.

Pihak polis turut merampas satu unit telefon bimbit milik Rafizi untuk siasatan lanjut.

Tiada ulasan: