FMT Reporters
Suami mangsa tidak sedar kenderaan yang dihidupkan dalam keadaan bergear mengakibatkan kereta itu bergerak ke hadapan lalu merempuh isterinya.
PETALING JAYA: Seorang warga emas maut dilanggar kereta yang bergerak ketika suaminya menghidupkan enjin kenderaan itu dalam keadaan bergear, di Kampung Bukit Tukang Jusoh, Sungai Petani, hari ini.
Ketua Polis Kuala Muda Zaidy Che Hassan, berkata kejadian itu berlaku 3.10 petang dengan mangsa berusia 69 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera teruk dalam badan.
Menurutnya, pasangan warga emas berkenaan sebelum itu menghadiri kenduri kahwin di kampung berkenaan.
“Selesai menghadiri kenduri, mereka bersiap untuk pulang ke rumah di Kampung Telok Amboi.
“Suami mangsa yang berusia 76 tahun kemudian menghidupkan enjin kereta yang masih dalam keadaan bergear menyebabkan kenderaan terbabit bergerak ke hadapan dan melanggar isterinya,” lapor Harian Metro.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan