"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Amar dicabar namakan calon PM dari Pas

MOHD ALI HASHIM

Kenyataan Naib Presidean Pas, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah bahawa Pas juga mempu menjadi Perdana Menteri kerana ia merupakan satu tugas mudah boleh diibaratkan sebagai angan-angan Mat Jenin. 

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, sekiranya tugas PM semudah yang Pas anggapkan, kenapakah kestabilan politik dalam negara tidak dapat dikekalkan walaupun Pas berada dalam kerajaan hari ini. 

Jelas beliau lagi, sebagai kabinet bersama sudah pasti Pas mampu menasihati Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimana caranya untuk menjadi PM yang berjaya.

Namun begitu hakikatnya Ismail Sabri gagal menangani banyak masalah politik, negara dan rakyat sehinggakan beliau terpaksa mengarahkan pegawai kerajaan untuk menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang. 

“Bergantung harap kepada pegawai kerajaan adalah satu petunjuk kelemahan PM dan jauh sekali untuk bergantung kepada Pas. Malah kenyataan Nik Amar kononnya seorang PM itu mempunyai wang cuma perlu tahu berbelanja juga amat dangkal dari realiti sebenar. 

“Kerajaan kini juga tidak mampu untuk mengekalkan subsidi barang asas dan bercadang memperkenalkan semula GST, membuktikan kerajaan tidak mempunyai wang yang cukup. Ini juga merupakan satu kelemahan PM sebagai peneraju kerajaan. 

“Untuk pengetahuan Nik Amar, wang kerajaan tidak turun dari langit, tetapi perlu dijana daripada hasil cukai dan seumpamanya apabila ekonomi dan pelaburan meningkat baik.

“Di samping itu, dengan kemerosotan indeks rasuah, ia akan terus memberi kesan kepada keyakinan pelabur yang sudah pasti akan menjejaskan hasil kerajaan, ” ujar beliau. 

Katanya, Laporan Ketua Audit Negara tentang ketirisan perbelanjaan kerajaan juga menjejaskan hasil negara seperti ketirisan dalam Program Pembasmian Kemiskinan Bandar yang bernilai RM201.94 juta serta didapati pembayaran tidak teratur sebanyak 0.75 juta dan kerugian wang awam sebanyak RM0.62 juta. 

Tambah beliau, kekurangan hasil negara akibat kelemahan tadbir urus dan kelemahan ekonomi adalah satu kegagalan PM.

Oleh kerana itu di manakah letaknya mudah menjadi PM sekiranya tiada sifat integriti dan kompetensi pada kerajaan Umno, Pas dan Bersatu hari ini. Kegagalan PM juga satu kegagalan Pas yang berada dalam kerajaan. Bagaimana kah Pas mampu untuk menjadi PM. 

Tegas Faiz lagi, sekiranya diukur kemampuan kerajaan Pas di peringkat negeri sekalipun lebih menyedihkan.

Ketika PH menerajui kerajaan Pusat, Kelantan telah dibayar wang royalti minyak sebanyak RM400 juta. Ini bererti kerajaan Pas Kelantan terpaksa bergantung kepada kerajaan Pusat untuk mendapatkan wang kerana hasil kerajaan negeri begitu rendah. 

Sehubungan itu seandainya menjadi kerajaan mudah mendapat wang, kenapa sehingga kini masalah bekalan air di Kelantan masih tidak dapat diselesaikan. Nik Amar seharusnya sedar menjadi PM tidak semudah angan-angan Mat Jenin. 

Saran beliau, kegagalan Pas di Kelantan adalah satu ukuran buat rakyat menilai ketidakmampuan mereka untuk menerajui kerajaan Pusat.

Meletakkan kepercayaan kepada Pas juga katanya akan mengundang sebuah lagi kerajaan gagal. Maka itu walaupun tidak salah bagi Nik Amar berangan-angan, beliau dicabar supaya menamakan siapakah calon PM dari Pas. 

Tiada ulasan: